HomeBeritaPolitikIsmail Sabri sedia berundur daripada arena politik arus perdana

Ismail Sabri sedia berundur daripada arena politik arus perdana

CYBERJAYA: Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sedia untuk mengundurkan diri daripada arena politik seperti yang dirancangnya selepas berakhir penggal Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Sebenarnya saya merancang untuk berehat selepas PRU14, namun ditakdirkan jadi Perdana Menteri,” katanya seperti yang dilaporkan Berita Harian pada Ahad.

Menurut Ismail, perancangan itu tersasar selepas beliau dilantik menjadi Perdana Menteri Kesembilan pada 20 Ogos 2021 bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin, susulan pergolakan dalam pentadbiran kerajaan ketika itu.

Malah, katanya, PRU15 pada 19 November lalu merupakan yang terakhir disertainya.

“Saya ada merancang jika menang PRU14, saya akan terus jadi menteri, selepas itu berhenti dan jadi Senator. Tamat perkhidmatan Senator, saya akan terus berhenti,” jelasnya.

Beliau turut mengulas perkembangan UMNO dalam wawancara khas Berita Harian itu, di mana, katanya UMNO semakin hilang sokongan berikutan kekalahan pada dua PRU berturut-turut.

Beliau merujuk keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memecat beberapa pemimpinnya selepas PRU15 kerana dikatakan melanggar peraturan dan keputusan parti, manakala beberapa yang lain pula digantung keahlian.

“Tindakan membuang satu pasukan untuk mengekalkan satu lagi pasukan hanya menimbulkan pergolakan, akhirnya semakin kurang penyokong. Ini yang saya bimbangkan mengenai masa depan UMNO.

“Ahli baharu yang hendak masuk pun kurang, yang ada pula keluar. Mungkin keadaan sekarang dikatakan aman kerana tiada lagi ‘kaki melawan’, tetapi sokongan semakin hilang,” katanya.

Tegasnya, beliau tidak pernah mempersoalkan keputusan MKT memecat beberapa pemimpin parti atau merujuk tindakan itu sebagai ‘haram’, tetapi, beliau mempertikai prosesnya kerana tidak mengikut prosedur dan peruntukan perundangan dalam perlembagaan parti.

Author

Pilihan Editor