IPOH: Stadium Perak ‘pulih’ seperti sediakala dan bersedia sepenuhnya bagi menghadapi aksi sulung Liga Super antara Perak FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC, esok.
Pengarah Kanan Teknikal Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Khairul Anuar Lodin berkata, ini susulan semua kerja pembaikan dan penggantian sistem lampu limpah Stadium Perak selesai dibaik pulih, semalam.
“Kerja-kerja baik pulih melibatkan Ballast 2000 watt sebanyak 18 unit, dua teras kabel bersaiz 6mm, empat teras kabel saiz 50mm dan mentol 2000 watt sebanyak 15 unit.
“MBI juga telah menjalankan ujian tahap pencahayaan lampu limpah bagi memenuhi piawaian yang ditetapkan dari segi tahap pencerahan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan ujian menunjukkan berjaya mendapat tahap 1200 lux,” katanya dalam sidang media di sini, malam tadi.
Terdahulu, beliau juga mengadakan ujian tahap pencahayaan lampu limpah bersama wakil MFL.
Jumaat lepas, MBI mengesahkan berlaku kecurian kabel dan komponen lampu limpah di Stadium Perak, yang mengakibatkan anggaran kerugian RM135,000.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri turut mengesahkan tiada sebarang unsur sabotaj berhubung insiden pecah masuk bilik yang menempatkan kabel dan komponen lampu limpah di Stadium Perak pada minggu lalu, namun siasatan masih diteruskan. – BERNAMA