HomeBeritaViralKomuniti Rohingya kutuk Rohingya 'langsi'

Komuniti Rohingya kutuk Rohingya ‘langsi’

KUALA LUMPUR: Ketua Komuniti Muslim Rohingya, Thu Zar Moung@Rashidah Abdul Azeez mengutuk keras tindakan bodoh komunitinya yang menuntut daerah Selayang dan memberi amaran kepada kerajaan agar tidak menyentuh mereka.

Beliau berpendapat, sepatutnya perkara sebegitu tidak berlaku lebih-lebih lagi apabila Malaysia memberi peluang kepada pencari suaka untuk berada di negara ini atas dasar kemanusiaan.

“Saya tidak tahu kenapa individu itu berkata demikian. Pelarian sepatutnya mengikut syarat dan undang-undang Malaysia sepanjang berada di negara ini.

“Kami semua mengambil kesempatan ini untuk berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana membenarkan pelarian dan pencari suaka seperti Rohingya berada di negara ini.

“Tindakan bodoh individu itu juga jelas tidak mewakili komuniti Rohingya, dan pihak kami mengutuk keras tindakannya. Saya juga meminta maaf kepada rakyat Malaysia disebabkan isu ini,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Seorang pelarian etnik Rohingya menuntut kerajaan Malaysia menyerahkan daerah Selayang kepada mereka dan jangan ‘menyentuh’ hak mereka di negara ini mencetuskan kemarahan awam.

Satu rakaman video tular di Tiktok, yang dimuat turun dan diulang siar oleh pengguna ‘kairulnizamabdu333’ daripada akaun ‘zulkifligsp’ memaparkan tindakan Rohingya seperti kaduk naik junjung.

Dalam video itu, individu dipercayai warga Myanmar dari etnik Rohingya menuntut hak ke atas kerajaan Malaysia selepas mendakwa sepanjang keberadaan mereka di negara ini sudah menyumbang banyak kepada ekonomi.

Antara tuntutan adalah menyerahkan kawasan Parlimen Selayang kepada etnik berkenaan sebagai balasan kerajaan kepada mereka kerana sumbangan itu.

“Kerajaan Malaysia mesti memberi hak sama rata kepada kaum minoriti dan kaum pelarian Rohingnya kerana sudah menyumbang kepada ekonomi negara.

“Sekarang diri kami hak kami menuntut hak kami, beri kami Selayang pun sudah cukup,” menurut individu itu dalam video yang sudah mendapat kira-kira 70,000 kali ulang tayangan.

Individu berkenaan malah cuba menggertak rakyat Malaysia supaya tidak menganggu kawasan Selayang selain memberi amaran supaya tiada cubaan mana-mana pihak untuk mengusir mereka.

“Selayang, Rohingya punya tempat. Itu orang Melayu, jangan kacau. Di Klang, Selayang kami punya kawasan, bangsa Cina, Melayu, India, Indonesia, tak boleh masuk, jangan cuba kacau, halau kami,” katanya.

MEDIA VARIASI sebelum ini melaporkan, etnik Rohingya yang menjadi beban kekal di Malaysia sebenarnya mahu pulang ke Myanmar.

Rashidah ketika ditemui sebelum ini mendedahkan pelarian Rohingya memang mahu pulang ke tanah air dan tidak berhasrat mahu jadikan Malaysia sebagai rumah mereka.

Peguam, Norman Fernandez pula dilaporkan berpandangan jika Rohingya dibenarkan terus berada di Malaysia tidak mustahil etnik berkenaan akan menuntut untuk diiktiraf sebagai bangsa Melayu dan berhak mendapat pendidikan di universiti awam tempatan.

Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri ketika berada di New York dilaporkan berkata, amat penting kesemua negara mengambil tanggungjawab untuk menempatkan lebih banyak pelarian Rohingya di negara masing-masing.

Beliau berkata, walaupun bukan merupakan negara yang menandatangani Konvensyen Status Pelarian 1951 dan Protokol 1967, Malaysia menerima hampir 200,000 pelarian Rohingya atas dasar kemanusiaan.

Author

Pilihan Editor