HomeBeritaMahkamah & JenayahKontraktor didenda RM30,000 guna penyata akaun bank palsu mohon tender

Kontraktor didenda RM30,000 guna penyata akaun bank palsu mohon tender

 

ALOR SETAR: Seorang kontraktor didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan penyata akaun bank palsu bagi mendapatkan tender pembersihan awam, empat tahun lepas.

Hakim Rohatul Akmar Abdullah turut memerintahkan tertuduh, Ronie Maharudin, 46, membayar denda itu serta-merta tanpa ansuran dan sekiranya gagal melunaskan denda berkenaan, tertuduh perlu menjalani hukuman penjara selama tempoh setahun.

Ronie didakwa menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu penyata akaun CIMB Islamic Bank Berhad milik Kembar Mega Enterprise bagi bulan Oktober, November dan Disember 2018 dalam permohonan tender berkenaan.

Dia dituduh mempunyai sebab untuk mempercayai yang dokumen itu adalah palsu dan dituduh melakukan perbuatan tersebut di Pejabat E-Idaman Sdn Bhd, No.163 & 164 Bandar Baru Stargate Jalan BSG 4, Lebuhraya Sultanah Bahiyah di sini pada 22 Feb 2019.

Ronie didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Ronie dalam rayuan yang diwakili peguam Datuk Hanif Hassan memohon supaya dikenakan hukuman ringan iaitu denda yang rendah tanpa penjara memandangkan perniagaan anak guamnya merudum sejak setahun lalu di samping keadaan ekonomi tidak menentu selepas pascapandemik.

Dia juga mempunyai tiga anak yang masih belajar berumur 15 hingga 21 tahun serta perlu menjaga kedua ibu bapanya yang telah tua.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Rehab Abdul Shukur yang mengendalikan kes itu memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal yang berbentuk pengajaran kepada tertuduh supaya dapat memberikan teladan kepada masyarakat.

Tertuduh kemudian membayar denda itu.- BERNAMA

 

 

Authors

Pilihan Editor