HomeBeritaViralPasar Rahmah Batang Kali tular kerana murah

Pasar Rahmah Batang Kali tular kerana murah

KUALA LUMPUR: Pasar Rahmah Batang Kali yang beroperasi setiap pagi Ahad semakin dikenali ramai kerana menjadi pusat setempat jualan pelbagai barang harian yang murah.

Pasar yang bertempat di deretan rumah kedai berhampiran Dewan Dato Abdul Hamid Batang Kali itu beroperasi dari jam 7 pagi hingga tengah hari.

Bermula dengan 20 peniaga, kini hampir 80 peniaga memenuhi kiri kanan jalan.

Tinjauan MEDIA VARIASI mendapati pakaian terpakai, berkualiti semurah RM1 boleh dibeli di sini, malah baju T yang baharu harganya RM5 sahaja.

Pelbagai barang di jual di sini selain pakaian, mainan, ikan bilis, langsir rumah, peralatan sekolah, kelengkapan rumah, aksesori wanita, aksesori kereta, kasut dan makanan.

Ada juga yang menjual pokok daun sup, daun ketumbar yang dijual RM3 setiap pasu dan pelbagai lagi.

Rata-rata peniaga menjual barangan peribadi dan ada juga bantu jual barang berkualiti dan jenama oleh golongan kayangan.

Dalam pada itu, penulis turut memeriahkan suasanan dengan  membeli tas tangan jenama Bvlgari yang harga asalnya berbelas ribu dengan harga RM10 sahaja.

Seorang penjual barang terpakai berjenama mengakui mendapat bekalan barangan jualan daripada golongan hartawan.

“Golongan kayangan, T20 ini mereka hanya mahu mengosongkan almari rumah mereka agar barang baharu dapat masuk.

“Jadi mereka tidak kisah mengenai harga jualan, ibarat seperti sedekah agar golongan marhean mampu menikmati apa yang telah mereka rasa.

“Malah kebanyakan barang terpakai yang diberikan kepada saya pun percuma sahaja, saya jual ini untuk beri kegembiraan kepada yang lain,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Peniaga datang daripada pelbagai kawasan daerah termasuk dari Cyberjaya, Sepang, Selayang, Gombak, Rawang, Tanjung Malim dan Ipoh Perak.

Segelintir peniaga sanggup datang sehari awal untuk mendapat tapak jualan dan sanggup bermalam dalam kenderaan masing-masing.

Konsep niaga amat mudah, buka bonet kereta, pasang payung dan jual.

Hilang penat dengan cuaca yang panas terik apabila apa yang dijual mendatangkan hasil, mungkin harganya murah, keuntungannya kecil tetapi keberkatan rezeki itu yang penting untuk dibawa pulang kepada keluarga masing-masing.

 

 

Author

Pilihan Editor