HomePendidikanLembaga Peperiksaan nafi guna 'TikTokers', pelontar suara berwibawa

Lembaga Peperiksaan nafi guna ‘TikTokers’, pelontar suara berwibawa

CYBERJAYA: Lembaga Peperiksaan Malaysia (LP) menafikan dakwaan mengguna khidmat ‘TikTokers‘ sebagai pelontar suara audio Ujian Mendengar Bahasa Inggeris (UMBI) peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang telah dijalankan pada 16 Februari lalu.

LP melalui satu kenyataan hari ini memaklumkan, pelontar suara yang digunakan dalam membina item atau instrumen UMBI SPM 2022 terdiri dalam kalangan guru, pensyarah, murid sekolah atau penuntut universiti.

“Pelontar suara merupakan mereka yang berwibawa dalam berbahasa Inggeris.

“Mereka yang terlibat juga telah diberikan latihan sebelum proses pembinaan item atau instrumen UMBI SPM Tahun 2022.

“Sehubungan dengan itu, LP yakin bahawa kualiti bahan audio dan kertas soalan UMBI SPM tahun 2022 kekal utuh,” maklumnya dalam kenyataan.

Pada masa sama, LP menyatakan bahawa kepentingan dan keadilan kepada calon yang menduduki peperiksaan SPM tahun 2022 kekal terjamin.

Terdahulu, tular di media sosial memaparkan ribuan calon SPM tertekan apabila audio Ujian Mendengar Kertas 3 Bahasa Inggeris yang dilaksanakan pada Khamis lalu tidak berkualiti dengan sebutan percakapan tidak jelas.

Perkataan Kamal, ‘strawberry’ dan ‘pineapple’ menjadi tular dalam Twitter yang dikatakan menjadi topik Ujian Mendengar Bahasa Inggeris Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang berlangsung.

Rata-rata calon turut berkongsi pengalaman mereka dengan menyatakan mengalami kekeliruan berikutan audio didengari terlalu laju.

Malah, perkara terbabit membuatkan sebilangan pelajar menjawab nama buahan-buahan lain seperti ‘apple’ dan ‘banana’ kerana audio berkenaan dikatakan tidak jelas.

Author

Pilihan Editor