HomeBeritaMahkamah & JenayahPuteri Sarah dapat kebenaran mulakan prosiding hina mahkamah terhadap Ira Kazar

Puteri Sarah dapat kebenaran mulakan prosiding hina mahkamah terhadap Ira Kazar

KUALA LUMPUR: Pelakon Puteri Sarah Liyana, hari ini memperoleh kebenaran memulakan prosiding terhadap madu, Ira Kazar dan bapa yang juga pelakon veteran, Kazaruddin Saisi, kerana menghina mahkamah.

Peguam Puteri Sarah, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, Hakim Mahkamah Sesyen Norakhmar Mohd Sani, memberi kebenaran itu ketika pengurusan kes secara dalam talian hari ini.

Katanya, pihaknya akan menyerahkan salinan permohonan komital itu kepada Ira atau nama sebenarnya Faghira Fatini, kakaknya iaitu Yasmin dan bapa mereka.

“Selepas penyampaian disempurnakan, mahkamah akan menetapkan tarikh untuk mereka menjawab terhadap permohonan kami.

“Pada masa ini, tiada sebarang tarikh ditetapkan,” katanya ketika dihubungi.

Pada 4 Julai 2022, Puteri Sarah dilaporkan berjaya memperoleh perintah injunksi daripada mahkamah antara lain bagi menghalang Ira atau sesiapa yang mempunyai kaitan dengannya daripada mengganggu dan menjejaskan ketenteraman serta kedamaian Puteri Sarah dan keluarganya serta keluarga mentua termasuk suaminya yang juga pengarah, Syamsul Yusof.

Ira juga dihalang daripada mendekati atau berada dalam jarak 500 meter daripada Puteri Sarah dan keluarganya atau rakan serta orang gaji kepada isteri pertama Syamsul itu.

Puteri Sarah kemudian memfailkan notis permohonan komital itu secara ex-parte (sebelah pihak) pada 31 Jan 2023 terhadap ketiga-tiga individu itu atas dakwaan dengan sengaja menentang atau mengingkari perintah injunksi yang diperoleh Puteri Sarah pada 4 Julai 2022.

Ibu kepada dua anak itu memohon perintah injunksi tersebut dalam kes saman difailkannya terhadap Ira yang didakwa mengganggu dan mengugutnya menerusi media sosial.

Pada 16 Januari 2023, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin memfailkan permohonan cerai dengan Syamsul atau nama sebenarnya, Mohd Shamsul Md Yusof, 39, di Mahkamah Rendah Syariah di sini dan sebutan kes ditetapkan pada 7 Mac ini di hadapan Hakim Syarie Akmalludin Ilyas.

Syamsul terdahulu mendedahkan beliau sudah bernikah dengan Ira di Thailand dalam video yang dikongsi menerusi Instagram.

Author

Pilihan Editor