HomeHiburanRindu D'Villa bukti cinta Black buat keluarga, mahu kembangkan 'bisnes' di Langkawi

Rindu D’Villa bukti cinta Black buat keluarga, mahu kembangkan ‘bisnes’ di Langkawi

CYBERJAYA: Dalam masa tiga bulan sahaja, penyanyi popular, Black Hanifah berjaya mencapai impiannya untuk membina sebuah villa yang tersergam indah di Langkawi, Kedah.

Menurut Black atau nama sebenarnya, Hanifah Muhammad Hanafiah, 36, villa yang diberi nama ‘Rindu D’Villa’ itu dinamakan bersempena dengan nama anak keduanya, Rindu Dayanna.

Jelasnya, dia percaya bahawa dengan penambahan aset sedemikian dapat memberi jaminan bagi kesenangan isteri dan anak-anaknya.

Tambah penyanyi yang popular dengan lagu Teman Pengganti itu, dia mendapat cetusan idea untuk membina villa itu pada Oktober tahun lalu lantas mengambil keputusan untuk membuat persiapan bagi memastikan Rindu D’Villa itu wujud.

“Idea tercetus tahun lalu selepas kita memasuki fasa peralihan ke endemik. Saya memang ada perniagaan rumah sewa di sini (Langkawi), jadi terfikir pula hendak menambah aset dan mengembangkan lagi pendapatan,”kata Black seperti dilapor Mingguan Wanita.

Black turut mengakui usaha dan penat lelahnya berhempas pulas dari Kuala Lumpur ke Langkawi berbaloi apabila villa impian yang dibinanya bersama empat orang tukang pembinaan, akhirnya berjaya dibangunkan di Kampung Bukit Lembu, Kedawang, Langkawi.

“Saya bina villa ini bersama mereka, berulang-alik dari Kuala Lumpur memandu sendiri kereta membawa barang binaan.

“Apa yang boleh dikatakan, saya puas dengan hasilnya hari ini,” ujarnya.

Lebih menarik lagi, Rindu D’Villa merupakan villa pertama di Asia yang menggunakan konsep lantai ‘glow in the dark’.

“Konsep lantai ‘glow in the dark’ itu dicadangkan seorang rakan pembekal barangan. Dia boleh sahkan villa saya yang pertama menggunakan konsep itu di Asia kerana barangan berkenaan memang miliknya,” jelasnya.

Black turut memaklumkan bahawa Rindu D’Villa kini sudah mula menerima tempahan dan sedia menerima kunjungan tetamu mulai Mac ini.

Bagi anda yang ingin mengetahui maklumat lanjut berhubung Rindu D’Villa, sila layari laman Instagram @rindudvilla.

Author

Pilihan Editor