HomeBeritaBanyak ustaz tanpa tauliah buat ajaran sesat - Bekas mufti

Banyak ustaz tanpa tauliah buat ajaran sesat – Bekas mufti

SHAH ALAM: Bekas Mufti Wilayah Persekutuan menggesa umat Islam memandang serius berhubung isu keperluan tauliah mengajar jika seseorang individu mahu memberi ceramah di masjid atau surau.

Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, perkara itu tidak boleh dipandang remeh kerana berdasarkan pengalamannya bertugas sebagai mufti sebelum ini, banyak kes yang dikendalikan beliau membabitkan isu ajaran sesat oleh golongan bergelar ustaz.

“Meskipun kita nampak ia merupakan perkara yang remeh, namun ia mesti dipandang serius kerana berapa banyak di luar sana ajaran sesat yang telah berkembang luas.

“Pengalaman saya ketika menjadi mufti dahulu, saya pernah menguruskan banyak kes melibatkan ajaran sesat oleh ustad. Ada kes yang mana seorang ustad mengaku sebagai imam mahdi.

“Yang hairannya, ada orang yang menjadi pengikutnya,” katanya dalam khutbah bertajuk ‘Kenapa Tauliah Mengajar Satu Keperluan?’ di surau Kumpulan Karangkraf di sini pada Jumaat.

Justeru, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu turut mengingatkan bahawa kebenaran tauliah yang telah ditetapkan menerusi sistem perundangan sedia ada.

Menurutnya, tauliah mengajar tidak perlu dijadikan satu isu kerana ia bertujuan menutup sebarang anasir berbahaya terhadap kefahaman umat Islam di negara ini.

Katanya lagi, keperluan tauliah mengajar bukan bertujuan menghalang atau menyusahkan aktiviti pembelajaran agama, sebaliknya merupakan langkah pencegahan bagi memenuhi maqasid syariah dalam aspek memelihara agama Islam (hifz ad din).

Jelas beliau, perkara itu bertujuan mengelakkan individu yang tidak mempunyai kredibiliti menyampaikan syarahan agama kepada orang ramai.

Terdahulu, umat Islam di Selangor diseru memahami dan menghayati khutbah, bertajuk Tauliah Mengajar Satu Keperluan yang dibacakan khatib di semua masjid di seluruh negeri, pada Jumaat.

Memetik hantaran dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dilaporkan menerusi khutbah itu bertitah, mengingatkan kepada individu yang ingin mengajar agama atau diundang untuk mengajar di masjid atau surau seluruh Selangor, memohon Tauliah Mengajar.

MEDIA VARIASI melaporkan, kategori tauliah punca lambakan pendakwah ‘cap ayam’, ustaz jadian dalam negara.

Ia susulan pendedahan secara bersiri seorang wanita, Norlina A mengenai bekas suaminya yang juga seorang pendakwah memiliki tauliah JAIS, meragui status sijil tauliah kerana mendakwa tiada kelayakan bidang agama, tidak pernah mengikuti pengajian bidang agama secara formal dan isu pematuhan syarat tauliah, baru-baru ini.

Untuk rekod, pendakwah berkenaan, Syed Abdul Rahman Syed Ali Alhadad, juga merupakan bapa kepada rapper tersohor negara, Altimet.

Turut dilaporkan, Peguam Syarie, Mohd Noor Aizan Md Idrus, menggesa pihak JAIS memperjelaskan kekeliruan dalam masyarakat yang beranggapan seseorang individu yang mempunyai tauliah, boleh meneruskan ceramah sedangkan tauliah yang ditetapkan pihak JAIS ada beberapa kategori bagi mengelakkan kekeliruan dan penyelewengan tauliah.

Author

Pilihan Editor