HomeBeritaDigigit buaya ketika ambil wuduk

Digigit buaya ketika ambil wuduk

 

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki warga emas berdepan detik cemas apabila tangan kanannya digigit seekor buaya di sebuah kawasan paya berhampiran Padang Papan di Manir dekat sini, petang Jumaat lepas.

Dalam kejadian pada pukul 7.25 malam itu, mangsa, Che Man Zakaria, 61, yang juga peniaga ikan darat menerima 12 jahitan akibat digigit reptilia tersebut.

Menurutnya, sebelum kejadian dia bersama beberapa rakannya memasang lukah untuk menangkap ikan darat di paya itu.

“Saya baru sahaja selesai menangkap ikan darat di paya itu dan ingin solat Maghrib terlebih dahulu sebelum pulang ke rumah.

“Ketika mengambil wuduk dalam keadaan mencangkung, tiba-tiba muncul seekor buaya sepanjang kira-kira dua meter menyambar tangan kanan saya.

“Kejadian itu menyebabkan saya terjatuh ke dalam paya. Kawan-kawan saya yang tidak sedar kejadian itu, bertanya kenapa saya terjun, saya cakap bukan saya terjun tetapi ada buaya sambar tangan,” katanya seperti dilapor Utusan hari ini.

Katanya setelah menggigit tangannya reptilia itu terus menghilangkan diri di dalam paya dan tidak lagi timbul walaupun dia dan rakan-rakan cuba mencari haiwan itu.

Che Man berkata dalam keadaan berlumuran darah, beliau menggagahkan diri menunggang motosikal pulang ke rumahnya yang terletak kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian untuk mendapatkan bantuan ahli keluarga.

Susulan kejadian, anaknya membawa dia ke Klinik Kesihatan Manir sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk menerima rawatan.

Bapa kepada 10 anak itu memberitahu sebelum ini beliau pernah tersempak dengan buaya di kawasan paya berkenaan namun kejadian pada petang Jumaat itu adalah kali pertama haiwan itu menyambarnya.

“Saya percaya ada lagi dua atau tiga ekor buaya di kawasan paya itu. Mungkin reptilia itu terlepas masuk dari Sungai Nerus akibat banjir Disember lepas,” ujarnya.

 

Author

Pilihan Editor