SHAH ALAM: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan para calon bagi pemilihan UMNO kali ini agar tidak meletakkan harapan untuk diletakkan sebagai calon pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Katanya, kemenangan para calon pada pemilihan itu nanti bukan jaminan bagi UMNO meletakkan mereka untuk bertanding pada PRN yang dijangka akan diadakan selepas sambutan Hari Raya nanti, sebaliknya pelbagai ciri lain akan dipertimbangkan bagi memastikan kemenangan dapat dicapai.
“Di Selangor, Insya-Allah kita akan berusaha agar dapat menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri selepas PRN, mungkin sebab itu ramai yang tawar diri untuk pelbagai jawatan bagi pemilihan kali ini,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, Selangor menghantar jumlah senarai pencalonan tertinggi pada pemilihan kali ini iaitu seramai 79 orang untuk bertanding merebut pelbagai peringkat jawatan dalam parti.
“Kita harap pemilihan peringkat parti ini bukan tapak untuk menjadi calon (PRN) dan meraih rezeki,” katanya berucap pada Majlis Pengenalan Calon-calon Naib Presiden, Majlis Tertinggi dan Exco Sayap-sayap, parti peringkat Selangor di sini malam ini.
Turut hadir Timbalan Presiden UMNO yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.
Enam negeri bakal mengadakan PRN pada tahun ini iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan dan Kedah.
Ahmad Zahid berkata, calon yang menang nanti sepatutnya mempunyai keazaman untuk memperkukuh semula dan memperkasa UMNO sebagai parti keramat untuk orang Melayu.
Pada masa yang sama, Timbalan Perdana Menteri itu turut berpesan kepada calon yang kecundang untuk terus setia dan tidak keluar daripada UMNO.
Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan Exco Wanita, Exco Pemuda dan Exco Puteri UMNO Pusat bakal diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac.
Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Tertinggi UMNO pula akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac. – BERNAMA