HomeMV+BongkarAktivis PPIM direman pemalsuan dokumen MAIS

Aktivis PPIM direman pemalsuan dokumen MAIS

DANG WANGI: Seorang usahawan yang juga aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) direman mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu atas kesalahan memalsukan dokumen menggunakan kepala surat logo Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Ia susulan pendedahan MEDIA VARIASI mengenai modus operandi pemalsuan dokumen pesanan pembelian atau ‘purchase order’ (PO) menggunakan logo MAIS sehingga menyebabkan penasihat PPIM rugi RM660,000.

MAIS pada 17 Februari lalu mengesahkan dokumen berkenaan palsu dan membuat laporan polis, susulan itu pengadu iaitu penasihat PPIM, Datin Che Roslina Che Othman turut membuat satu laporan polis mengenainya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya ketika dihubungi MEDIA VARIASI mengesahkan pihaknya sedang menjalankan siasatan ke atas kes itu.

“Suspek seorang usahawan wanita berusia 50-an yang juga aktivis PPIM ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Che Roslina membuat laporan polis mengenai penipuan dan pemalsuan logo MAIS

Sumber memaklumkan suspek berkenaan memiliki rekod lampau iaitu antara tahun 2010 hingga 2013 membabitkan mangsa berbangsa Cina dan dua Melayu dengan kerugian bernilai RM3.2 juta.

Suspek pernah dituduh di mahkamah namun kesnya selesai di luar mahkamah.

Bagaimanapun suspek dipercayai mengulangi semula perbuatannya, modus operandi sama dan kali ini mangsa membabitkan Penasihat PPIM.

Terdahulu, usahawan itu secara menipu melakukannya bagi tujuan mendapatkan dana projek bantuan bakul makanan (Food Bank) yang tidak wujud.

Sasarannya adalah pihak berkepentingan yang juga mempunyai hubungan baik dengan PPIM.

Che Roslina mendedahkan, individu itu sengaja menggunakan kepala surat rasmi MAIS agar ia nampak lebih meyakinkan.

Katanya, usahawan itu mulanya datang ke PPIM kononnya meminta bantuan untuk membuka syarikat kerana sudah disenarai hitam, tetapi mahu membuka akaun melibatkan PPIM sebagai ‘distributor’ dan menggunakan alamat pejabat PPIM sebagai alamat urusan rasminya.

 

Author

Pilihan Editor