PETALING JAYA: Biarpun darah daging sendiri yang melakukan kesalahan, kesalahan itu tetap salah tanpa menyebelahi mana-mana pihak.
Demikian kata pengarah dan penerbit filem tanah air, Datuk Mohd Yusof Haslam.
Yusof berkata demikian bagi mengulas keinginan isterinya, Datin Patimah Ismail yang mahu menjadi pencelah dan saksi dalam injuksi terhadap isteri kedua anaknya, Ira Kazar yang didakwa melanggar perintah mahkamah.
Yusof tegas berpendirian untuk berpihak kepada yang benar.
Katanya, beliau yakin isterinya mempunyai alasan kukuh untuk berbuat demikian selain melihat sendiri situasi rumah tangga anak dan menantu mereka.
“Isteri saya telah beritahu dan meminta keizinan untuk beri keterangan selaku pencelah bagi kes tuntutan yang dikemukakan Sarah kepada pihak ketiga.
“Saya akur dengan kehendaknya kerana dia lebih tahu apa yang berlaku dalam rumah tangga Sarah dan Syamsul, tambahan pula dia yang berada di rumah sepanjang tempoh itu.
“Kami bukan mahu menyebelahi sesiapa tetapi andai anak kami terkhilaf, tentu kami berpihak kepada yang benar. Salah tetap salah, sekali pun darah daging sendiri,” katanya kepada media.
Sementara itu, berhubung dakwaan Syamsul memukul isterinya, sutradara prolifik itu cuma berharap, tiada kaum Adam tergamak ‘meletak’ tangan kepada mana-mana wanita.
“Saya tak boleh ulas lanjut. Dua-dua saya sayang, itu anak, ini menantu. Cuma doa yang mampu saya bersama isteri tadahkan semoga semua ini berakhir dengan baik.
“Percayalah tiada ibu bapa yang mahu melihat rumah tangga anak-anaknya berantakan. Tidak mungkin ada,” katanya.
Terdahulu, Patimah yang juga ibu Syamsul memuat naik hantaran di InstaStory memaparkan gambar anaknya di muka depan sebuah akhbar, bersama titipan dengan berlatarbelakangkan lagu Rapuh nyanyian penyanyi Indonesia, Opick.
“Hidupmu hampir hancur! Pulanglah ke pangkal jalan. Sudah jauh tersesat. Pintu kami sentiasa terbuka untukmu. Allah juga Maha Pengampun,” tulisnya.
Sebelum ini, Puteri Sarah mendedahkan Patimah menawarkan diri untuk menjadi pencelah dan saksi bagi pihaknya ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.
Ia susulan Syamsul memfailkan permohonan di mahkamah untuk mencelah dalam petisyen perintah injunksi antara aktres itu yang juga isteri pertamanya dan isteri keduanya, Ira Kazar, 27.
Permohonan difailkan melalui peguam Azahir Nasir daripada Tetuan Azahir Surianie & Azizan Ariff yang mewakili pengarah filem terkenal itu, pada 21 Februari lalu.