HomeHiburanKena 'label' pembuli, Uqasha Senrose buat laporan polis

Kena ‘label’ pembuli, Uqasha Senrose buat laporan polis

CYBERJAYA: Pelakon, Uqasha Senrose membuat laporan polis berhubung dakwaan berbaur fitnah oleh seorang wanita yang mengaku dirinya menjadi mangsa buli Uqasha di bangku persekolahan.

Menurut Uqasha atau Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 31, dia turut melantik peguam bagi menguruskan kes berkenaan dan tindakan susulan akan diambil terhadap pengadu itu.

“Segalanya akan terjawab nanti dan pihak peguam akan buat siasatan terperinci. Saya pun hairan bagaimana dia boleh tuduh saya pernah buli dia?

“Saya nak tegaskan tak pernah buli orang di sekolah sebab saya yang banyak berpindah sekolah masa tingkatan empat dan lima dulu,” katanya menerusi sesi perkongsian live di TikTok, semalam.

Dalam pada itu, Uqasha turut mencabar pengadu supaya mengemukakan segala bukti bahawa dia seorang pembuli.

Malah, Uqasha turut hairan dengan isu terbabit kerana kes yang dianggap berlaku 15 tahun lalu itu baru kini dibangkitkan.

“Ini bukan benda kecil sampai saya terpaksa baca benda tak betul dan trending di Twitter.
Kalau betul kenapa sekarang baru nak cerita? Kononnya macam-macam saya dah buat pada awak.

“Kak Yongnya saya, kuatnya saya sampai boleh buat awak jadi trauma. Awak tuduh saya kaki buli, talam dua muka sampai buat orang lain nak bunuh diri.

“Saya teringin nak kumpulkan guru-guru dan rakan-rakan sebab sekolah itu pun masih ada, betul ke saya ini pembuli?” soalnya.

Pelakon yang popular dengan drama Perempuan Tanpa Dosa itu turut menegaskan bahawa serangan siber buli yang melanda dirinya kini tidak mematahkan semangat dan moralnya untuk berdepan dengan dugaan sedemikian.

“Awak tak berjaya buat saya lemah, sebaliknya awak buat saya lebih bersemangat.

“Awak kacau mental saya, siapa buli siapa sekarang? Kalian yang turut komen macam-macam di Twitter juga seolah-olah sudah kenal lama dengan saya sebenarnya buli siber terhadap saya,” ujarnya.

Untuk rekod, beberapa hari ini nama Uqasha menjadi trending di Twitter kerana dikaitkan kes buli yang didakwa kononnya berlaku di sebuah sekolah, 15 tahun lalu.

 

Author

Pilihan Editor