HomeBeritaPolitikMahdzir Khalid akur keputusan UMNO, ikrar terus membantu kepimpinan

Mahdzir Khalid akur keputusan UMNO, ikrar terus membantu kepimpinan

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mahdzir Khalid akur dengan keputusan perwakilan UMNO pada pemilihan parti penggal 2023-2026, baru-baru ini.

Mahdzir, yang pernah menyandang Naib Presiden itu, gagal mempertahankan jawatannya, selepas perwakilan bahagian seluruh negara memilih dua muka baharu, penggal kali ini.

Mahdzir yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Terap, tidak menoleh ke belakang lagi, sebaliknya terus memandang ke depan dan berikrar untuk membantu jentera parti supaya terus kekal relevan.

“Saya secara peribadi menerima dengan hati terbuka dan berlapang dada apabila perwakilan berhasrat untuk memilih kepimpinan baharu di barisan Naib Presiden bagi membantu Presiden dan Timbalan Presiden khususnya dan UMNO secara amnya.

“Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada perwakilan UMNO yang telah mengundi saya pada kali ini,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Beliau juga menghormati setiap keputusan yang telah dibuat oleh perwakilan dalam proses pemilihan kali ini.

“Saya juga menyeru kepada semua saf kepimpinan baharu UMNO termasuk di peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) serta seluruh ahli UMNO kekal bersatu padu di dalam parti keramat ini.

“Saya akan meneruskan khidmat bakti saya kepada parti, ahli-ahli UMNO dan juga rakyat sebagai Ketua UMNO Bahagian Padang Terap dan juga membantu saf kepimpinan di peringkat UMNO Pusat,” katanya.

Beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada saf kepimpinan baharu Naib Presiden, Ahli-ahli MKT, Ketua Wanita, Ketua Pemuda, Ketua Puteri, Ketua-ketua Bahagian dan Cawangan yang dipilih bagi penggal ini.

Mahdzir turut yakin UMNO akan kembali bangkit dan mampu menawan semula hati rakyat sejajar dengan proses pemilihan kepimpinan parti yang baru diselesaikan secara penuh demokrasi.

Untuk rekod, Mahdzir menduduki kerusi Naib Presiden UMNO bagi penggal lalu selepas menerima undi daripada 125 Bahagian UMNO pada pemilihan tahun 2018.

Pada Pemilihan UMNO penggal 2023-2026 yang berlangsung serentak di peringkat Bahagian UMNO di seluruh negara kelmarin, Mahdzir memperolehi 42 undi daripada keseluruhan 191 Bahagian UMNO.

Tiga kerusi Naib Presiden UMNO yang dipertandingkan dimenangi oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Seorang lagi adalah penyandang jawatan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Author

Pilihan Editor