HomeBeritaMahkamah & JenayahMahkamah perintah Hafidz Roshdi jalani rawatan psikiatri

Mahkamah perintah Hafidz Roshdi jalani rawatan psikiatri

KUALA KUBU BHARU: Pelakon, Hafidz Roshdi diperintah untuk menjalani rawatan psikiatri di Hospital Bahagia, oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Perintah itu dikeluarkan Hakim Siti Fatimah Talib terhadap Hafidz atau nama sebenarnya, Muhammad Hafidz bin Roshdi, 29, selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar bagi pemeriksaan mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah.

Terdahulu, Hafidz yang diwakili peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Siti Fatimah.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323.

Hafidz yang bercermin mata hitam dan berjaket sebelum itu tiba di pekarangan mahkamah, dengan menaiki pikap diiringi dengan lima individu termasuk peguamnya ke kompleks mahkamah.

Media sebelum ini melaporkan, Hafidz ditahan pada 10 Mac lalu bagi membantu siasatan dalam kejadian menumbuk isterinya ketika hadir di Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Bagaimanapun, pelakon drama Kan Ku Kejar Cinta Kamu itu dibebaskan dengan jaminan polis sebaik selesai diambil keterangan pada petang hari sama.

Shuhada memfailkan perceraian di Mahkamah Syariah Shah Alam dan kes pengesahan lafaz cerai itu akan disebut pada 21 Mac ini.

Hafidz dan Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6, dan Umar, 2.

Author

Pilihan Editor