HomeMV+EksklusifPelancongan, kebudayaan di Kelantan sudah 'mati' - MITA

Pelancongan, kebudayaan di Kelantan sudah ‘mati’ – MITA

AMPANG: Mengikut sejarah, Kelantan dikenali sebagai Tanah Serendah Sekebun Bunga iaitu tanah yang dipenuhi dengan bunga-bungaan pelbagai jenis.

Seperti bunga, Kelantan mekar dan berkembang pesat di bawah pemimpin wanita iaitu Cik Siti Wan Kembang.

Selepas kedatangan pedagang Arab serta pengaruh mereka sehingga ke hari ini, negeri ini digelar pula Serambi Mekah.

Ketika era 80 an, Kelantan pernah menjadi pilihan utama pelancong asing dan industri berkembang pesat semekar bunga.

Namun segalanya berubah apabila Kelantan menjadi negeri paling tercorot dalam memperoleh cukai pelancongan dan bukan lagi pilihan pelancong.

Perkara ini didedahkan oleh, Presiden Malaysia Inbound Tourism Association (MITA), Uzaidi Udani.

“Mungkin ada pihak yang akan marah tetapi inilah kebenaran dan realiti industri pelancongan, aktiviti kebudayaan yang di Kelantan sudah mati.

“Sebagai contoh, pelancong asing takut untuk pergi ke Kelantan dan Kedah kerana gambaran buruk yang diberi, itu tak boleh ini tak boleh.

“Nak pergi Langkawi tetapi mereka yang bukan Islam kena sorok minum arak.

“Pelancong lebih suka pergi Arab Saudi sebab keterbukaan, di Arab tiada sekatan seperti di Kelantan, sedangkan pada tahun 1985, Kelantan pilihan nombor satu pelancong luar seperti dari Eropah,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Beliau berkata demikian pada satu program ‘MITA Inbound Marketplace 2023’ untuk mempertemukan penggiat industri pelancongan dengan pengendali produk pelancongan untuk menjalinkan kerjasama perniagaan.

Program ini sebagai usaha untuk mencapai sasaran 23.5 juta pelancong antarabangsa dengan unjuran pendapatan sehingga RM76.8 bilion menjelang Tahun Melawat Malaysia pada 2025.

Beliau turut membentangkan Peta Persediaan Tahun Melawat Malaysia antara 2023 hingga 2025 iaitu menyebarluas Syarikat Pengurusan Destinasi (DMC), memastikan pelancongan tidak memberi kesan kepada perkara lain dan juga memperkasa pasaran pelancongan menerusi dunia digital.

Dalam pada itu, Uzani menambah aset yang menjadi tarikan pelancongan di Kelantan adalah kebudayaan.

“Jika tiada kebudayaan hendak tunjuk apa? Jika warisan ini pupus bukan sahaja hilang tarikan, hilang pendapatan negeri, malah rakyat Kelantan pun akan hilang identiti dan warisan bangsa mereka.

“Mungkin mereka kata melanggar akidah tetapi kita perlu lihat tempat-tempat yang boleh toleransi untuk melakukan aktiviti kebudayaan, persembahan alat muzik tradisional seperti gong, Mak Yong dan sebagainya.

“Anda pergi Tukri pun ada tarian gelek, ada yang selepas Umrah menonton tarian gelek.

“Cukai pelancongan penting untuk jana pendapatan negeri untuk beri balik kepada rakyat, sampai bila nak mengharapkan dana daripada Persekutuan sahaja sedangkan Kelantan, Kedah banyak aset,” katanya.

Author

Pilihan Editor