HomeHiburanRadhi pinjam ah long RM50,000 demi konsert OAG

Radhi pinjam ah long RM50,000 demi konsert OAG

CYBERJAYA: Vokalis kumpulan OAG, Radhi mendedahkan bahawa penganjuran Konsert 30 Tahun Generasiku di Stadium Malawati, Shah Alam, Disember, tahun lalu adalah hasil daripada pinjaman ah long berjumlah RM50,000.

Radhi atau nama sebenar, Muhammad Radhi Razali, 46, berkata, walaupun sudah memasuki hari konsert berlangsung, pentas masih belum siap ekoran daripada masalah bajet.

“Pada jam 3 petang hari konsert itu berlangsung, pentas belum siap kerana kami tiada duit. Jadi kami ambil keputusan pinjam daripada ah long walaupun tahu ia bukanlah idea baik.

“Kami terpaksa pinjam ah long kerana mahu teruskan konsert. Pada hari itu juga, ah long datang dari Pulau Pinang dan bawa wang sebanyak RM50,000.

“Wang itulah digunakan untuk membina set di pentas dan persiapan lain konsert. Kalau tidak, memang tidak akan berlaku apa-apa pada malam itu,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Tambah Radhi, kebanyakan tiket konsert terpaksa diberikan secara percuma kerana masa terhad dan menhadapi pelbagai masalah lain.

“Sejujurnya, kami tidak mahu teruskan konsert itu kerana kesuntukan masa. Ini ditambah pula dengan beberapa masalah lain seperti kos penganjuran.

“Namun, disebabkan peminat, kami teruskannya. Ramai ingat tiket itu habis terjual, sebaliknya, banyak yang diberi percuma.

“Bayangkan, promosi untuk konsert dibuat dua bulan sahaja ditambah pula dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ketika itu, jadi, tiket tidak terjual.” ujarnya.

Oleh: Ain Japri (Pelatih USM)

Author

Pilihan Editor