HomeHiburanSaya kuat untuk ditinggalkan, tetapi tak kuat untuk berpoligami - Ezzaty

Saya kuat untuk ditinggalkan, tetapi tak kuat untuk berpoligami – Ezzaty

KUALA LUMPUR: Aktres, Ezzaty Abdullah meluahkan pendiriannya yang mampu untuk ditinggalkan jika pasangan ada wanita lain, bagaimanapun tidak kuat jika suaminya mahu kahwin lagi.

Isteri kepada Azwan Kombos itu berkata, dia menolak poligami kerana menyedari tidak mampu menghadapi perkongsian hidup dan kasih.

“Saya tak kuat untuk bermadu tetapi cukup kuat untuk ditinggalkan, contoh kalau pasangan mahu wanita lain saya akan kata lepaskan saya, awak teruskan sahaja hidup bersamanya.

“Apabila dah putus, dah cerai saya ok saya boleh kawan dengan bekas suami dan wanita berkenaan, saya akan ok boleh kawan cuma tak boleh kongsi kasih dalam perkahwinan.

“Saya kenal diri saya, saya tahu kemampuan saya tapi saya tak menolak orang yang nak poligami, itu pilihan mereka, kemampuan mereka, cuma bagi diri saya memang tak boleh,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Ezzaty dijemput hadir pada Majlis Pelancaran Kempen Ramadan 1444H TV AlHijrah bertemakan kempen Imarahkan Ramadan #EratkanJalinan di Zebra Square, di sini, pada Khamis.

Pada program itu, pihak media dan selebriti turut diberi peluang untuk merasai pengalaman menaiki bas dua tingkat TV AlHijrah dari Masjid Wilayah Persekutuan ke Zebra Square berkenaan.

Turut dilancarkan program CSR, Skuad Bubur Lambuk TV AlHijrah menggunakan khidmat 15 penunggang motosikal yang akan buat edaran sebanyak seribu bungkusan bubur lambuk di lima lokasi tumpuan ramai Kuala Lumpur dan Selangor.

Antara lokasi dikenal pasti adalah Hospital Besar Kuala Lumpur, stesen LRT, UiTM Shah Alam, stesen bas Kajang dan Masjid Usman Zaid.

Dalam pada itu, ibu kepada dua cahaya mata itu turut menjelaskan dia bukan menolak keras poligami sehingga ada peminat lelaki yang mencemuhnya sebagai menolak sunnah, tolak agama.

“Mungkin mereka menilai saya berdasarkan tajuk, orang Malaysia ini cepat melatah sebelum baca habis keterangan.

“Sebenarnya saya tumpang gembira jika ada yang poligami dan boleh hidup berkongsi, tetapi bagi diri saya sendiri saya tahu kemampuan saya sebab itu saya beritahu saya tak mampu.

“Masa bercinta pun saya pernah beritahu pasangan jika mahu wanita lain, silakan tetapi bukan berbahagi kasih dengan saya,” katanya.

Author

Pilihan Editor