HomeHiburanSelepas dakwa isteri curang, Syamsul mahu berbaik semula dengan Sarah

Selepas dakwa isteri curang, Syamsul mahu berbaik semula dengan Sarah

KUALA LUMPUR: Pengarah kontroversi Syamsul Yusof yang sebelum ini memfailkan nusyuz terhadap Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin kini merayu untuk berbaik semula dengan isterinya itu.

Malah sebelum ini, bapa kepada dua anak bersama Sarah itu mengeluarkan kenyataan Sarah curang dengan menghubungi lelaki lain dan mengaibkan dirinya dengan Ira Kazar berulang kali menegaskan tidak akan sesekali melepaskan isteri pertamanya itu.

Beliau tiba di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI) kira-kira jam 9.35 pagi tadi memohon doa yang terbaik dari semua.

Syamsul ditemani salah seorang ahli keluarga tiba di jabatan berkenaan bagi proses mencari jalan penyelesaian isu berhubung kemelut rumah tangganya menerusi Jawatankuasa Pendamai (JKP).

“Hari ini kami menjalani proses JKP, semoga daripada sesi ini Sarah boleh berbaik semula dan berbincang dengan saya.

“Saya difahami Sarah ditemani ahli keluarganya.

“Tak tahu lagi macam mana, doakan yang terbaik dan kita jumpa selepas ini,” kata Syamsul.

Pada 7 Mac lalu, Puteri Sarah dan Syamsul diperintahkan Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur supaya melantik wakil JKP dalam kes permohonan perceraian mereka.

Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas memerintahkan demikian selepas kes itu disebut di hadapannya dengan dihadiri kedua-dua pihak.

JKP terdiri daripada anggota keluarga yang rapat dengan pasangan dan mereka dilantik bagi memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian.

Sebelum ini, Puteri Sarah selaku plaintif memfailkan permohonan penceraian itu di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh antara alasan yang dikemukakan Puteri Sarah untuk bercerai ialah sudah tidak ada persefahaman dan berlaku shiqaq (perbalahan yang berpanjangan) serta tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri menurut hukum syarak.

Untuk rekod Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata Syaikhul Islam, 6, dan Summayah, 4.

Author

Pilihan Editor