HomeBeritaPolitikTiada kem Presiden, hanya ada kem UMNO - Ahmad Maslan

Tiada kem Presiden, hanya ada kem UMNO – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan tiada ‘kem presiden’ seperti didakwa segelintir pihak ketika proses Pemilihan UMNO masih berjalan.

“Presiden sudah sebut beberapa kali, hanya ada satu kem dalam UMNO iaitu kem UMNO. Pasukan UMNO. Tidak ada pasukan presiden atau yang lain-lain.

“Beliau juga pernah menyebut dan saya sendiri pernah dengar banyak kali ketika pengenalan nama-nama calon tidak ada sebarang kem dalam UMNO. Itu juga baiknya mengapa kita tidak ada pertandingan peringkat tertinggi, presiden dan timbalan.

“Kalau ada pertandingan presiden dan timbalan presiden, mesti ada kem ‘A’, kem ‘B’ dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas majlis Program Amal Pertubuhan Kebajikan Isnaniah Srikandi Malaysia di JW Marriot di sini.

Ahmad turut menyampaikan bantuan persekolahan fasa ke-7 kepada anak-anak yatim, asnaf dan kurang berkemampuan hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad menyeru semua ahli-ahli UMNO tidak kira yang menang dan kalah supaya terus matang untuk berdepan dengan pelbagai cabaran parti pada masa akan datang, khasnya semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam beberapa bulan lagi.

“Saya menyeru kepada semua supaya dengan segera merapatkan barisan dan saf, hadapi cabaran pada masa depan. Ini cadangan saya kepada yang telah menang dan kalah pada pemilihan ini tidak kira apa jua peringkat akar umbi sehinggalah yang tertinggi.

“Kita ada tugas berat, kita perlu menang di kerusi-kerusi UMNO. Menangkan semua kerusi UMNO tandingi di semua enam negeri,” ujarnya.

Pemilihan UMNO 2023 berakhir semalam selepas 189 bahagian UMNO daripada 191 bahagian bersidang, namun hanya dua bahagian iaitu UMNO Bahagian Johor Bahru dan Beluran di Sabah ditangguhkan.

Keputusan daripada dua bahagian ini termasuk dua lagi Bahagian UMNO yang digantung iaitu Tanah Merah dan Kota Kinabalu, yang dijadual diadakan semula pemilihannya kelak, tidak akan dikira bagi penjumlahan keseluruhan keputusan Pemilihan UMNO 2023 khususnya bagi peringkat pusat.

Author

Pilihan Editor