KUALA LUMPUR: Selepas menerima anugerah Anime Fan Award di Tokyo Anime Awards Festival 2023 bulan lepas, syarikat animasi MONSTA terus melakar nama di peringkat global apabila akaun utamanya di YouTube, MONSTA Channel telah dianugerahkan ‘Diamond Play Button’ setelah berjaya mencecah 10 juta subscribers.
MONSTA dalam kenyataan hari ini memaklumkan syarikat animasi terbesar di Asia Tenggara itu mula bertapak di YouTube pada 2014.
“Bermula dengan hanya tayangan animasi BoBoiBoy yang telah dimuat naik di akaun MONSTA Channel untuk tontonan umum, MONSTA Channel kini berkembang menjadi hab animasi terkenal di peringkat global apabila ia turut membawakan siri Monsta Originals seperti Mechamato, Papa Pipi, Fly With Yaya serta animasi terkenal luar negara seperti Pokémon, Beyblade, Molang dan seantaranya,” menurut kenyataan itu.
MONSTA Channel turut memperluaskan kegunaan platform tersebut yang digunakan untuk berinteraksi dengan penonton dan peminat dari seluruh dunia, berkongsi video reaksi, permainan video game, OST asli setiap harta intelek serta komik bergerak.
Kenyataan itu menyebut MONSTA Channel mencapai 100,000 subscribers pertamanya pada 2 April 2015, diikuti sejuta subscribers pada 11 Jun 2017 dan mencapai 10 juta pada Disember tahun lepas.
MONSTA Channel merupakan satu daripada tiga akaun rangkaian MONSTA Network yang berada di dalam kedudukan ‘Top 10 Most Successful YouTube Channel’ di Malaysia.
“Ini menjadikan MONSTA Network sebagai rangkaian channel YouTube terbesar tanah air. Akaun AnimaSEA dan Mini Monsta milik syarikat MONSTA dijangka bakal menerima Diamond Play Button yang sama pada masa hadapan apabila ia mencecah 10 juta subscribers,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MONSTA, Nizam Abd Razak menerusi laman Facebooknya mengucapkan terima kasih atas sokongan semua sehingga berjaya dianugerahkan Diamond Play Button. – BERNAMA