HomeMV+PendapatBukan kahwin paksa, kami nikah secara sah - Armizan

Bukan kahwin paksa, kami nikah secara sah – Armizan

Penganjuran Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan Malaysia ini merupakan platform yang amat penting dan dinanti-natikan.

Konvensyen ini memaknai MoU Permuafakatan Kerajaan Perpaduan yang telah dimeterai pada 16 Disember 2022. Persefahaman yang dirintis oleh para pemimpin 5 parti gabungan utama tersebut telah disemarak dan diperkukuhkan di peringkat pimpinan akar umbi melalui kebersamaan dalam konvensyen ini, dan turut disertai oleh rakan-rakan parti lain yang bersama membentuk Kerajaan Persekutuan.

Ya benar apa yang dikatakan bahawa kami datang dari pelbagai perbezaan pendirian politik sejak sekian lama. Namun jika dilihat dari perspektif yang lain, saya fikir ini merupakan satu perkembangan positif yang amat signifikan.

Kita tidak perlu terbelenggu dengan persepsi negatif yang cuba dibentuk oleh pihak tertentu, apatah lagi untuk merasa apologetik. Kita sebenarnya perlu berasa bangga kerana membuat pilihan yang tepat meletakkan perbezaan ketepi demi agenda besar.

Rakyat dan negara ini memerlukan sebuah Kerajaan untuk melangkah ke hadapan pasca pandemik COVID-19 dan ketidakstabilan politik berpanjangan. Jangan berterusan mangsakan rakyat dengan pertikaian politik kita. Rakyat telah melaksanakan tanggungjawab mereka dalam pilihan raya, dan kini para ahli politik perlu menunaikan amanah dan fokus bekerja sehabis baik untuk rakyat.

Kalau adapun yang menyifatkan kami dalam Kerajaan Perpaduan bernikah secara paksa, yang penting kita bernikah secara sah. Kadangkala bercinta selepas berkahwin jauh lebih bermakna.

DATUK ARMIZAN MOHD ALI
Timbalan Setiausaha Agung
Gabungan Rakyat Sabah (GRS)/Menteri di Jabatan Perdana Menteri

Author

Pilihan Editor