HomeBeritaViral‘Kesan tapak tangan berlumpur pada kereta’ - Kru produksi sesat dalam hutan,...

‘Kesan tapak tangan berlumpur pada kereta’ – Kru produksi sesat dalam hutan, alami peristiwa mistik

CYBERJAYA: Gara-gara mengikuti jalan yang ditunjukkan dalam aplikasi Waze, seorang kru produksi melaluii pengalaman mistik apabila sesat di dalam hutan di kawasan Jenjarom.

Menurut kisah yang dikongsi di TikTok Airil Hafiz, dia hanya mengikut jalan yang ditunjukkan oleh aplikasi Waze diberi oleh pengurus produksi tanpa mengesyaki apa-apa.

“Saya terima job shooting area Jenjarom dan di sana, saya diberikan homestay. Dipendekkan cerita, saya baru habis shooting set yang lain dan terus pergi ke homestay Jenjarom untuk set Shooting esok pagi.

“Saya bertolak dari Sungai Buloh ke Jenjarom pukul 10.30 malam dengan menggunakan Waze yang telah dikongsi oleh production manager kepada saya.

“Setelah tiba di area Jenjarom, Waze telah menunjukkan arah jalan masuk ke hutan dan ladang sawit. Saya mengikuti Waze tanpa fikir apa-apa walaupun jalan ke hutan itu gelap,” katanya.

Malah, dia dibawa masuk ke tengah-tengah hutan sampaikan jalan tar bertukar kepada tanah merah, berlopak serta bersemak.

Airil berkata, sampai sahaja di lokasi terbabit, tiada sebarang rumah di sana apatah lagi homestay.

“Saya jadi panik dan terus berpatah balik mencari jalan keluar mengikut laluan saya masuk tadi. Masa tu line handphone dah tak ada. Tak boleh nak call sesiapa. Malangnya saya tak jumpa jalan masuk tadi dan terus tersesat dalam hutan itu sekitar jam 12 malam.

Lebih memburukkan keadaan apabila jalan yang diberikan oleh aplikasi Waze sekali lagi membawanya ke tebing sungai sehingga membuatkan tayar keretanya tersangkut dalam lubang tanah.

Setelah hampir setengah jam Airil memandu kereta, akhirnya dia putus asa dan berhentikan kereta di tengah-tengah hutan serta risau minyak habis sewaktu mencuba cari jalan keluar.

“Mulut tak berhenti berselawat dan membaca surah-surah yang saya ingat. Kemudian dalam keadaan gelap gelita saya ternampak sejalur cahaya yang kecil dan agak jauh melintasi pandangan mata. Saya terus mengejar cahaya itu walaupun jaraknya sangat jauh.

“Setelah jauh mengejar, cahaya itu semakin jauh dan seakan-akan membawa saya ke satu tempat. Saya reda dan teruskan mengejar cahaya itu. Dalam hati saya dah tak peduli tentang nasib diri ini. Sama ada cahaya ini akan membawa saya keluar atau mungkin terus membuatkan saya berada di dalam hutan ini,” ujarnya.

Akhirnya, dia berjaya keluar dari kawasan hutan terbabit dan terus membuat panggilan kepada pengurus produksi untuk mengambilnya.

“Sampai di homestay, terus tidur. Keesokan paginya, saya terkejut melihat keadaan kereta yang dipandu semalam. Kereta dalam keadaan berlumpur tapi apa yang mengejutkan terdapat banyak kesan tapak tangan berlumpur pada kereta,” jelasnya.

Justeru, Airil berharap orang ramai mengambil pengajaran dari kisahnya untuk tidak terlalu bergantung terhadap aplikasi Waze.

Oleh: AIN JAPRI (Pelatih USM)

Author

Pilihan Editor