CYBERJAYA: Baru-baru ini, tular sebuah video memaparkan seorang pemandu e-hailing bertindak membatalkan pesanan pelanggannya kerana melebihi had muatan penumpang.
Dalam video yang dikongsikan menerusi TikTok Safrah699, kelihatan lima orang penumpang masuk ke dalam kereta walaupun pemandu tersebut memberitahu hanya empat orang sahaja dibenarkan memasuki kenderaanya itu.
“Empat orang saja ye, jangan banyak-banyak tak muat nanti,” kata pemandu berkenaan.
Bagaimanapun, kesemua penumpang itu tidak mengendahkan kata-kata pemandu terbabit.
Melihatkan situasi yang agak sempit, pemandu tersebut meminta para penumpangnya keluar.
Namun, penumpangnya tetap berkeras tidak mahu keluar.
“Runtuh nanti kereta saya, keluar, keluar, keluar.
“Sebelum saya cancel, keluar. Haa dah cancel, keluar,” ujarnya.
Menjengah ruangan komen, rata-rata netizen mempertahankan tindakan pemandu tersebut.
“Lah, Grab kan boleh pilih kereta 4 seat or kereta lebih besar, beza seringgit dua je pun,” kata netizen.
“Bukan, sebenarnya benda ni nampak kecil untuk sesetengah orang, tapi besar bagi orang yang buat Grab. sebab kalau kena saman rabak duit poket weh,” tulis netizen.
“Kena jaga periuk nasi juga. Kalau dah semua driver 4 seater ambil macam ni, macam mana nak jaga market untuk 6 seater,” komen netizen.
Oleh: AIN JAPRI (Pelatih USM)