HomeHiburanSyamsul sah cerai Puteri Sarah talak satu

Syamsul sah cerai Puteri Sarah talak satu

 

CYBERJAYA: Kemelut rumah tangga pengarah sensasi, Syamsul Yusof, 39, dan Puteri Sarah Liyana, 38, berakhir selepas Syamsul melafazkan cerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.

Lafaz cerai dilakukan di hadapan Hakim Syarie Akmalluddin Ilyas selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai difailkan Puteri Sarah mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Akmalludin kemudian mensabitkan berlaku perceraian dan memerintahkan Puteri Sarah menjalani tempoh edah selama tiga bulan dan mendaftarkan perceraian mereka. 

Pelakon drama Andai Itu Takdirnya ketika ditemui kelihatan tenang dan bersyukur segala urusan perceraiannya itu dipermudahkan, lapor mStar.

Dalam prosiding itu, Puteri Sarah diwakili Peguam Syarie Datuk Akberdin Abdul Kader manakala Syamsul diwakili Peguam Syarie Azmi Mohd Rais.

Untuk rekod, Syamsul dan Puteri Sarah bernikah pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 5 tahun.

Oleh: AIN JAPRI (Pelatih USM)

Author

Pilihan Editor