HomeBeritaSanusi dakwa plot tangkap dirancang 6 bulan lalu: 'Kita kenal dia macam...

Sanusi dakwa plot tangkap dirancang 6 bulan lalu: ‘Kita kenal dia macam mana’ kata PM

GUA MUSANG: Malam tadi, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa rancangan untuk menangkap dan menjatuhkan kredibilitinya sudah lama dirancang, iaitu sejak enam bulan lalu.

Menteri Besar Kedah dan dan Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu membuat andaian demikian di hadapan khalayak Ceramah Gelombang PN di Padang Awam Kuala Ketil di Kedah.

Dakwanya, ia berdasarkan maklumat diterima daripada rakan bahawa ‘ada sesuatu’ akan dikenakan terhadapnya susulan kritikan terbuka dibuatnya kepada pihak tertentu.

Ketua Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat itu yang ditahan polis Selasa lalu sebelum didakwa di mahkamah atas pertuduhan menghasut, mendedahkan beliau menyimpan pistol bersama peluru dalam keretanya sepanjang masa, sebagai langkah berjaga-jaga kerana khuatirkan keselamatan diri.

Terdahulu pada 19 Julai, Muhammad Sanusi memaklumkan belum ‘dikunjungi’ pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dalam isu perlombongan unsur nadir bumi (REE).

Katanya, beliau hanya tahu turut disiasat berkait kegiatan melombong REE di Bukit Enggang, Sik itu melalui laporan media, sekali gus tidak menolak kemungkinan dakwaan terbaharu itu plot besar dirancang untuk memburukkan imejnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemui pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Warga FELDA, di sini hari ini, menjawab ringkas: “Kita kenal dia macam mana”.

Anwar bagaimanapun melabelkan Muhammad Sanusi sebagai individu yang terkenal dengan teori-teori baharu, termasuk dakwaan kononnya ada plot penangkapannya yang sudah dirancang enam bulan lalu.

“Saya tidak perlu ulas kerana itu urusan polis. Kita kenal dia macam mana dan setiap hari beliau ada teori baharu,” kata Perdana Menteri, lapor Berita Harian.

Media sebelum ini melaporkan, SPRM membuka kertas siasatan berhubung penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa membabitkan seorang menteri besar dalam isu perlombongan REE di Bukit Enggang.

Aktiviti perlombongan itu dipercayai dilakukan secara tidak sah dan menyebabkan kerugian kepada kerajaan negeri.

Muhammad Sanusi bagaimanapun menafikan beliau mempunyai sebarang kaitan dengan kes kecurian REE di hutan simpan berkenaan, termasuk berkaitan kemasukan pekerja asing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu berkata, beliau difahamkan Cawangan Khas, Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SPRM sudah memasuki pejabat Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah untuk menyiasat.

Author

Pilihan Editor