HomeBeritaMahkamah & JenayahIbu Baby Syifaa dakwa pengasuh taska menipu berkaitan status pendaftaran JKM

Ibu Baby Syifaa dakwa pengasuh taska menipu berkaitan status pendaftaran JKM

SEREMBAN: Saksi ke-23 dalam inkues kematian Nour Rania Asyifaa atau Baby Syifaa, iaitu Anida Idrus, 42, yang juga ibu kepada bayi berkenaan, memberitahu Mahkamah Koroner Seremban hari ini bahawa pengasuh taska terlibat dalam menipu dirinya.

Ia berhubung status pendaftaran taska berkenaan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Pada 2018 saya tanya pasal pendaftaran taska, saya dimaklumkan ia berdaftar semasa saya hantar kakak Syifaa dan saya nampak sijil adik dia (pengasuh) dipamerkan di ruang taska.

“Saya tahu adik dia ada diploma dalam bidang kanak-kanak. Saya juga dalam bidang sama, sudah pasti saya nak carikan tempat yang terbaik untuk anak saya, saya pastikan ia berdaftar, jadi saya tanya,” katanya.

Dia menjawab soalan pegawai pengendali prosiding tersebut, Zahida Zakaria sama ada dirinya mengetahui bahawa pusat asuhan berkenaan berdaftar atau sebaliknya, lapor Utusan.

Zahida juga bertanyakan bagaimana Anida yakin bahawa taska berkenaan berdaftar walaupun tidak ditunjukkan sijilnya.

Anida menjelaskan, selepas melahirkan Baby Syifaa, dia telah bertanyakan kepada pengasuh, Khairulnissa Ahmad Damanhuri, 38, sama ada boleh menjaga anaknya itu.

Menurutnya lagi, Khairulnissa memberitahu dia boleh menjaga Syifa kerana pada ketika itu dia sedang menjaga dua bayi dan JKM membenarkan tiga bayi dijaga dalam satu masa bagi bayi umur seperti Syifaa.

“Itu meyakinkan saya bahawa mereka memang berdaftar. Kalau tidak daftar, buat apa mahu ikut sangat kata JKM, saya anggap dia tipu saya,” katanya yang kelihatan sebak ketika menceritakan semula keadaan pada hari kejadian.

Pada permulaan sesi prosiding di hadapan Koroner, Datin Surita Budin itu, Anida terlebih dahulu memohon maaf kepada mahkamah sekiranya dia gagal mengawal emosi ketika memberikan kenyataan.

Pada prodising itu, keluarga Syifaa diwakili peguam, Gaithri Thomas dan Hafiz Norkhan, manakala S. Kavitha merupakan peguam pemerhati pihak tertuduh.

Pegawai pengendali juga terdiri daripada Husni Fairos Ramly dan Nor Azizah Mohamad. Prosiding inkues ditangguhkan dan bersambung pada 29 Ogos depan.

Sebelum ini, media melaporkan, Nour Rania Asyifaa, 15 bulan, ditemui tidak sedarkan diri di dalam buaian di sebuah bilik di pusat asuhan di Taman Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan pada 22 Februari 2022.

 

Author

Pilihan Editor