CYBERJAYA: Bengang fotonya digunakan tanpa kebenaran, pelakon, Datuk Rosyam Nor menegaskan dirinya tidak pernah melibatkan diri dengan mana-mana syarikat skim pelaburan di Malaysia.
Menerusi hantaran video Instagram, Rosyam, 56, berkata, tindakan pihak berkenaan menggunakan fotonya bagi meraih kepercayaan orang ramai menyertai aktiviti pelaburan adalah salah dan tidak bertanggungjawab.
“Assalamualaikum dan salam sejahtera semua, saya just nak bagitahu ada banyak sangat iklan pasal saham yang gunakan gambar saya dan ramai orang terpengaruh.
“Saya nak bagitahu saya tak ada apa-apa kena mengena dengan apa-apa saham, itu adalah penipuan,” katanya.
Susulan itu, pelakon KL gangster itu turut menasihatkan orang ramai supaya jangan mudah terpedaya dengan iklan yang dipaparkan di mana-mana medium media sosial.
“Itu adalah penipuan, so jangan cepat percaya bila diorang guna gambar saya.
“Saya harap semua orang berhati-hati dengan situasi sekarang ini. Terima kasih,” ujarnya.