HomePendidikanKPM sedia tiga saluran tangani buli, gangguan seksual

KPM sedia tiga saluran tangani buli, gangguan seksual

CYBERJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyediakan tiga saluran yang boleh digunakan oleh orang ramai termasuk pihak sekolah dan juga ibu bapa sekiranya ingin menyalur sebarang maklumat berkaitan kes buli dan gangguan seksual.

KPM dalam kenyataan berkata, pihaknya memandang serius berhubung isu buli dan gangguan seksual yang membabitkan murid di institusi pendidikan bawah KPM.

“Saluran tersebut ialah talian khas Aduan Buli, e-mel: adubuli@moe.gov.my dan aduan buli di Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).

“Maklumat aduan buli dan gangguan seksual boleh diakses melalui Portal Aduan Buli KPM di https://www.moe.gov.my/aduanbuli ,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah KPM, Semua jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah dan institusi pendidikan diarah untuk mematuhi tahap kesegeraan penyampaian maklumat, laporan serta tindakan berkaitan buli dan gangguan seksual kepada KPM berdasarkan tempoh hari yang ditetapkan iaitu pada kadar 1:3:7 hari.

“Rekod penyelesaian aduan buli dan gangguan seksual di institusi pendidikan bawah KPM menunjukkan lebih 90 peratus kes berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang daripada 15 hari.

“Langkah itu antara tindakan proaktif dalam menangani kes berkenaan di semua institusi pendidikan bawah KPM bagi menjamin ekosistem selamat untuk guru, murid dan seluruh warga institusi pendidikan,” jelasnya.

Sehubungan itu, pelbagai inisiatif turut dilaksanakan bagi memastikan penguatkuasaan peraturan sedia ada seperti yang terdapat dalam surat siaran kementerian, surat pekeliling ikhtisas dan garis panduan berkaitan.

“Antara mekanisme yang sedang dilaksanakan KPM bagi menangani isu buli dan gangguan seksual di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya antaranya adalah kempen kesedaran mengenai kesan buli dan gangguan seksual terhadap mangsa di media konvensional dan media sosial.

“Selain itu, program pendidikan mengenai bahaya buli dan gangguan seksual juga dilaksanakan secara bersepadu membabitkan aspek kurikulum, kokurikulum serta pembinaan sahsiah dan amalan sekolah penyayang.

“Malah, turut dilaksanakan intervensi kepada mangsa buli dan kerjasama strategik dengan semua pihak terutamanya dengan agensi penguat kuasa bagi memastikan isu buli dan gangguan seksual dapat ditangani dengan lebih efektif,” katanya.

Ketika ini, KPM juga sedang memuktamadkan garis panduan menangani buli dan gangguan seksual serta Peraturan Disiplin Murid yang baharu dan akan dikeluarkan dalam masa terdekat bagi menggantikan Ordinan Pelajaran 1957, Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah 1959).

“KPM menyeru kerjasama dan komitmen berterusan semua pihak termasuk ibu bapa, pentadbir institusi pendidikan, guru, media, rakan korporat dan seluruh anggota masyarakat untuk sama-sama terbabit secara langsung atau tidak langsung memerangi isu buli dan gangguan seksual.

“KPM sentiasa berusaha memastikan keselamatan, kesejahteraan dan kebajikan seluruh warganya dipelihara. Oleh itu, tiada kompromi kepada buli dan gangguan seksual di semua institusi pendidikan bawah KPM,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor