HomeBeritaPolitikPN bakal terima sokongan MP kerajaan jika menang PRN - Hadi Awang

PN bakal terima sokongan MP kerajaan jika menang PRN – Hadi Awang

CYBERJAYA: Perikatan Nasional (PN) akan disokong oleh Ahli Parlimen di dalam parti gabungan Kerajaan Perpaduan sekiranya menang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini, kata Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Presiden PAS itu mendakwa, sokongan Ahli Parlimen tersebut sekali gus akan membolehkan berlaku perubahan dalam kerajaan pusat diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tambah Timbalan Pengerusi PN itu lagi, Ahli Parlimen terbabit hanya menunggu masa untuk menyokong PN bagi membentuk kerajaan pusat baharu.

Katanya, ini termasuk sebahagian Ahli Parlimen UMNO yang menyokong PN bagi membantu parti gabungan itu membentuk kerajaan Pusat selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Asal (ada) 10 Ahli Parlimen UMNO nak sokong kita, mungkin 15 (Ahli Parlimen) tapi mereka ini dipaksa, diugut yang ada kes nak bawa ke mahkamah menyebabkan orang UMNO ini dalam ketakutan.

“Maka ditubuhkan Kerajaan Perpaduan dalam keadaan kacau-bilau, Kerajaan Perpaduan tapi berbalah sama sendiri, yang parti dalam kerajaan bantah kerajaan sendiri,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Abdul Hadi berkata, pembentukan kerajaan Pusat baharu itu penting untuk menyelamatkan agama, bangsa dan negara, di mana kemenangan PN pada PRN kali ini perlu bagi membolehkan perubahan berkenaan dilakukan.

Justeru, beliau mengingatkan semua petugas PAS untuk bekerjasama bagi memastikan kemenangan PN.

“Sebab itu saya harap petugas-petugas PAS ini bekerjasama, sama ada di tempat PAS bertanding (atau) Bersatu bertanding untuk memenangkan PN.

“Ini tujuan politik yang sangat besar untuk selamatkan agama, bangsa dan negara kita (agar) terus dipelihara oleh Islam…ini sangat penting, ini bukan kerja main-main, bukan kerja jual beli, bayar duit (tetapi) tanggungjawab yang sangat besar,” katanya.

Sebelum ini, Anwar dilapor berkata, Kerajaan Perpaduan akan terus memerintah negara ini walaupun PN sibuk mendakwa perubahan tampuk pentadbiran akan berubah pada bulan ini.

Author

Pilihan Editor