HomeBeritaSultan Selangor titah siasat penfitnah sekolah tahfiz

Sultan Selangor titah siasat penfitnah sekolah tahfiz

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah, fitnah mengatakan lebih 200 buah sekolah tahfiz di Selangor telah diarahkan tutup amat dikesali dan tidak bertanggungjawab.

Baginda bertitah, fitnah sebegini secara tidak langsung merisaukan ibu bapa dan boleh menghakis kepercayaan orang ramai terhadap institusi agama dan pihak berkuasa agama khususnya di negeri ini.

“Baru-baru ini telah berlaku kekecohan tentang fitnah yang telah dilemparkan terhadap pihak berkuasa agama negeri Selangor dan pihak berkuasa tempatan (PBT) Selangor kononnya lebih daripada 200 buah sekolah tahfiz di Selangor telah diarahkan tutup yang mengakibatkan beribu pelajar tahfiz telah hilang tempat untuk belajar.

“Beta mahu mereka yang sering melemparkan fitnah dan tohmahan agar mendapatkan fakta tepat sebelum melontarkan sebarang tohmahan tidak berasas,” titah baginda.

Sultan Selangor merupakan Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agam Islam Malaysia (MKI) bertitah sempena Mesyuarat MKI Kali Ke-70 di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Titah baginda lagi, golongan terbabit perlu segera memberhentikan perbuatan khianat dan tidak bertanggungjawab tersebut.

“Andai kata mereka meneruskan perbuatan fitnah dan khianat ini, beta mohon pihak polis segera mengesan kumpulan penfitnah ini dan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.

“Pada hakikatnya beta telah menitahkan agar langkah pemutihan diambil terhadap sekolah-sekolah agama dan tahfiz swasta dan persendirian yang tidak berdaftar dengan mengarahkan pendaftaran dibuat bagi memastikan sekolah-sekolah ini adalah selamat dari segi ciri-ciri keselamatannya dan mempunyai suasana pembelajaran yang selesa untuk para pelajar menimba ilmu,” titah baginda. – Sinar Harian

Authors

Pilihan Editor