HomeGaya Hidup77.8 peratus cari cinta di aplikasi cari jodoh

77.8 peratus cari cinta di aplikasi cari jodoh

DALAM dunia digital hari ini, cinta boleh ditemui dengan satu swipe sahaja. Tingkah laku berdating juga telah berubah sejak berakhirnya pandemik. Mereka dari kumpulan umur 25 hingga 34 tahun menggunakan aplikasi cari kenalan dan jodoh.

Ritual dating dalam dunia hari ini telah berubah. Mereka yang belum berkahwin kini menggunakan kuasa teknologi dalam usaha mereka mencari cinta dengan hampir 77.8% memanfaatkan platform cari jodoh untuk mencari pasangan hidup masing-masing.

Pendedahan terbaru ini diperoleh daripada laporan penyelidikan unik yang bertajuk Match to Marriage oleh agensi kreatif global, TBWA Asia.

Kajian ini telah dilaksanakan oleh Halal Wave, sebuah unit yang mengkaji tentang pengguna Islam yang berpangkalan di Malaysia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TBWA Group Malaysia, Hui Tsin Yee, unit tersebut telah meneliti data yang didapati daripada 158,586 perbualan media sosial dan 16 temu bual yang dijalankan mulai tahun 2021 hingga 2023 merentasi lima buah negara termasuk Malaysia, Indonesia, Singapura, Jerman dan United Kingdom.

“Idea untuk menerbitkan laporan ini telah dimulakan dan diterajui oleh 65dB Kuala Lumpur, sebuah unit risikan audiens di bawah TBWA Malaysia dengan kerjasama pejabat-pejabat serantau TBWA.

“Usaha bersepadu untuk mengumpulkan data ini membuktikan pendekatan proaktif kami dalam merancang strategi yang bersesuaian dengan kumpulan pengguna yang berpengaruh ini,” katanya.

Menyentuh soal temu janji dan mencari jodoh dalam kalangan orang Islam, laporan berikut mendedahkan pengalaman yang dilalui oleh orang Islam ke arah mendirikan rumah tangga.

Laporan turut menyediakan data penting yang boleh digunakan oleh syarikat-syarikat perniagaan untuk menyediakan produk dan perkhidmatan yang lebih berkesan untuk audiens yang berpengaruh dan pelbagai ini

Sementara itu, Ketua 65dB Kuala LumpurNazirah Ashari, berkata, pengalaman sekatan pergerakan semasa pandemik memberi kesan yang mendalam kepada dirinya.

“Saya rindu untuk berinteraksi dengan orang-orang tersayang lalu saya mula mendekati Tuhan. Semua ini mencetuskan keinginan saya untuk mendirikan rumah tangga.”

“Saya kemudiannya merangka dan menulis semula tentang keutamaan serta tujuan hidup.

“Mencari teman hidup yang memiliki pemikiran yang sama menjadi matlamat saya. Dengan itu, saya mula menyelami dunia pencarian jodoh melalui dalam talian dan program motivasi, termasuk memahami cabaran dan peluang di sebalik usaha ini,” ceritanya yang juga Pengarah Strategi Halal Wave, TBWA\Asia dan Pengarang Penyelidik bagi laporan Match to Marriage.

Laporan mendedahkan bahawa usaha untuk mendirikan rumah tangga dalam kalangan orang Islam turut berdepan dengan cabaran.

Oleh kerana orang Islam tinggal dan berinteraksi dalam latar belakang budaya yang berbeza, perbualan tentang perkahwinan berbeza agama menjadi topik yang sangat menarik.

  • 62.3% mengambil berat tentang peraturan perkahwinan berbeza agama serta penukaran agama kepada Islam sebagai sebahagian daripada syarat perkahwinan berbeza agama.
  • 20.6% menyatakan kekurangan bimbingan sebagai penghalang kedua terbesar kerana mereka tidak pasti sama ada pendekatan mereka dalam membentuk hubungan adalah selari dengan ajaran Islam atau sebaliknya.
  • 3.9% menyebut tentang masalah bahasa.
  • 3.0% menyatakan kebimbangan ditipu dalam dunia temu janji dan mencari jodoh dalam talian.
  • 2.6% bimbang tentang tujuan yang tidak sepadan dengan individu yang mungkin mempunyai pandangan berbeza, terutamanya mereka yang serius tentang niat mereka untuk mendirikan rumah tangga.

“Apabila wujudnya niat yang berbeza dalam kalangan orang Islam yang berdating, kami menyedari bahawa terdapat perubahan yang berlaku secara dalaman apabila masing-masing bersedia untuk berkahwin.

“Menerusi analisis yang mendalam terhadap data yang diperoleh melalui perbualan media sosial, kami mengenal pasti lapan bentuk persediaan untuk berkahwin yang menyenaraikan kerohanian, sikap, persetujuan dan penerimaan keluarga, komunikasi, kewangan dan keselamatan, kesihatan, tempat tinggal selepas berkahwin serta nikah/majlis perkahwinan,” tambah Nazirah. – Relevan

Authors

Pilihan Editor