AKSI panas pasangan pelakon Fasha Sandha dan Aidil Aziz dalam sebuah kolam menerima kecaman netizen yang menganggap video yang dikongsikan itu keterlaluan.
Menerusi rakaman video dikongsi itu, Fasha atau Nur Fasha Sandha Hassan, 39, bersama suaminya dilihat beraksi mesra sambil berpelukan dan melagakan hidung masing-masing.
“My forever love,” tulis Fasha di ruangan kapsyen.
Difahamkan, video yang berdurasi selama 15 saat itu merupakan satu bentuk promosi produk kerana turut menyatakan tarikh iaitu pada 16 September ini.
Bagaimanapun, aksi mesra yang ditonjolkan pelakon filem Cicak Man itu mengundang rasa kurang senang pengikutnya serta menganggap konten sebegitu tidak sesuai ditayangkan pada khalayak umum.
“Rasanya macam agak keterlaluan perkongsian puan kali ni… Saya rasa mungkin elok kalau puan private kan post ini daripada tontonan umum atau sebaiknya tidak dikongsikan langsung,” komen netizen.
“Banyak remaja yang ada akaun IG. Ingatkan filem Barat. Takut ada anak-anak muda terangsang nafsu. Minta jangan post benda macam ni please. Fikir sebelum post,” selar warga net.
“Hubungan suami isteri depan anak-anak pun kena ada rasa segan silu. Ni kan lagi hubungan di media sosial walaupun halal, janganlah dipertontonkan kemesraan tu. Bukan cemburu tapi mak-mak ni tolonglah malu dengan generasi anak-anak,” kongsi netizen.