HomeHiburan'Jangan malukan diri' - Erma Fatima bagi amaran kepada Nabila Huda?

‘Jangan malukan diri’ – Erma Fatima bagi amaran kepada Nabila Huda?

“JANGAN cuba nak malukan diri,”.

Itulah pesanan pengarah, Erma Fatima kepada pelakon, Nabila Huda yang bakal melakonkan watak Nyai Sunarti dalam teater muzikal, Lantai T Pinkie yang pernah dilakonkan Erma ketika pementasan kali pertama kira-kira dua dekad lalu.

Mengulas amaran diberi, Nabila atau Nabila Huda Suhaimi, 39, berkata, meskipun kata-kata diberi berbaur perangsang, namun pesanan Erma tetap membekas dalam hati.

“Saya ada hubungi Erma untuk memaklumkan yang saya akan memegang watak Nyai Sunarti.

“Erma cakap dia sudah tahu selepas ternampak hantaran saya dalam media sosial.

“Saya turut meluahkan kerisauan kerana watak ini berat dan memerlukan saya menyanyi dan menari.

“Bagaimanapun, saya yakin mampu melakukannya. Erma pesan, saya pelakon hebat dan pernah menang trofi, jadi jangan cuba nak malukan diri.

“Saya kena buat yang terbaik,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Meskipun dikategorikan sebagai pelakon berkaliber, Nabila mengakui dirinya masih belum dapat menjiwai sepenuhnya watak perempuan kabaret itu.

Susulan itu, anak kepada bintang rock legenda, Datuk Amy Search itu berhasrat bertemu Erma bagi mendapatkan nasihat.

“Saya ada beritahu Erma yang saya akan bertemu dengannya. Hingga kini, saya masih belum nampak watak Nyai Sunarti masuk dalam diri.

“Jujurnya, saya tak pernah menonton teater ini, jadi saya tak boleh nak bayangkan. Saya kena jumpa Erma untuk berkongsi pengalaman.

“Erma minta saya hafal dialog terlebih dahulu sebelum berjumpa dengannya. Mungkin seminggu sebelum pementasan bermula saya akan pergi bertemu dengannya.” ujarnya.

Untuk makluman, teater Muzikal Lantai T Pinkie yang juga karya Datuk Seri A Samad Said ini bakal dipentaskan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP, Kuala Lumpur pada 6 hingga 8 Oktober ini.

Selain Nabila, teater ini menampilkan barisan pelakon seperti Zera Hariz, Faysal Saad, Linda Nanuwil, Datuk Tamimi Siregar, Datuk Jalaluddin Hassan, Zaifri Husin, Zuhairi Ibrahim, Carolyne, Serra Kamal, Ewan Fauzi dan Syahril Kadir.

 

Author

Pilihan Editor