CYBERJAYA: Tular satu video seorang lelaki bertindak mengasari tunangnya sehingga wanita itu mengerang kesakitan apabila lelaki itu kantoi berlaku curang.
Menerusi video tular, kedengaran suara wanita itu merintih kesakitan akibat dikasari lelaki tersebut yang dipercayai merupakan anggota polis.
Difahamkan, kejadian itu berlaku seminggu sebelum pasangan itu melangsungkan perkahwinan.
“Seminggu sebelum berkahwin, si terpaling polis bahagian jenayah ni kantoi curang, main dengan perempuan sana sini.
“Bila bakal isteri confront tanya dan tegur, dia mengamuk dan salahkan bakal isteri. Dia yang buat hal, dia tuduhnya bakal isteri buat hal,” tulisnya dalam video.
Lebih teruk, lelaki itu turut mengugut untuk memukuli wanita itu sekiranya enggan berkahwin dengannya.
“Kau jangan buat hal lagi tau dengan aku. Jangan sampai kau balik nanti, pipi kau berbekas. Kau nak kahwin dengan aku ke tak nak?.
“Sekali aku pukul kau, sampai kahwin aku pukul kau, sebab kau tak nak jaga perangai kau elok-elok.
“Kau nak bagitahu bapak aku ke aku curang?” soal lelaki terbabit sambil memukul wanita itu.
Sehubungan itu, wanita itu menjawab setuju untuk berkahwin dengan lelaki itu sambil menangis akibat dipukul berkali-kali.
Tinjauan MEDIA VARIASI di ruangan komen mendapati video tersebut merupakan video lama namun baru dikongsi.
Malah, pasangan itu juga telah berkahwin dan dikurniakan seorang anak serta kini dalam proses perceraian.