HomeBeritaTambang feri baharu Pulau Pinang RM1 kanak-kanak, RM2 dewasa

Tambang feri baharu Pulau Pinang RM1 kanak-kanak, RM2 dewasa

BUTTERWORTH: Kadar tambang untuk perkhidmatan feri baharu yang dikenakan kepada penumpang kini bermula pada harga serendah RM1.

Jurucakap Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) selaku syarikat pengendali perkhidmatan tersebut berkata, tambang RM1 itu akan dikenakan kepada individu atau pejalan kaki yang berusia 12 tahun ke bawah.

Katanya, untuk penumpang dewasa atau individu berusia 12 tahun ke atas pula, tambang sebanyak RM2 akan dikenakan terhadap mereka.

“Selain itu, penunggang basikal yang menaiki feri juga akan dikenakan caj sebanyak RM2 manakala penunggang motosikal pula perlu membayar tambang sebanyak RM2.50,” katanya seperti dilapor Utusan.

Menurut beliau, tambang feri baharu itu mencerminkan komitmen dan usaha PPSB ke arah penambahbaikan berterusan untuk semua penumpang di samping menyokong peningkatan kemudahan perkhidmatan feri.

“Matlamat kami adalah untuk menyediakan perjalanan yang selamat, mudah serta menyeronokkan untuk semua orang dan perubahan ini memainkan peranan penting dalam mencapai objektif tersebut,” ujar jurucakap tersebut.

Dalam pada itu, katanya, selain mengenakan tambang feri, PPSB juga akan memperkenalkan pas bulanan pada masa depan yang menawarkan diskaun kepada pengguna feri.

“Inisiatif ini secara tidak langsung bertujuan memberikan nilai tambah dan kemudahan kepada pengguna setia kami,” katanya.

Terdahulu, orang ramai diberi peluang untuk merasai sendiri perkhidmatan feri baharu yang beroperasi di dua buah terminal secara ulang-alik iaitu di Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) dan Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU) itu secara percuma selama sebulan bermula pada 7 Ogos lalu. – Utusan

Authors

Pilihan Editor