HomeBeritaMahkamah & Jenayah1MDB: Seorang lagi disyaki terbabit penyelewengan dana

1MDB: Seorang lagi disyaki terbabit penyelewengan dana

 

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan seorang lagi individu yang berada di luar negara kerana disyaki terbabit dalam kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, ia susulan hasil siasatan ke atas bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng.

Bagaimanapun, identiti individu berkenaan tidak boleh didedahkan kerana ia akan mengganggu siasatan yang sedang berjalan.

“Penjejakan aset-aset berkenaan tidak semestinya membabitkan Roger sebaliknya terdapat individu lain lagi dikenal pasti mempunyai kaitan pemilikan dana 1MDB itu.

“Ini yang sedang dijejak oleh pihak kita. Aset ini tidak semestinya di Malaysia malah boleh jadi berada di luar negara,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman, di sini, hari ini.

Sebubungan itu, beliau memberitahu bahawa siasatan terhadap Roger masih lagi diteruskan dan akan tertumpu kepada pemulihan aset 1MDB.

“Aset-aset ini berada di pelbagai lokasi. Jadi, ini yang akan jadi tumpuan siasatan dan Roger masih lagi dalam tahanan pihak polis,” jelasnya lagi.

Terdahulu pada 10 Oktober lalu, Kosmo! melaporkan Keberadaan bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa, 51, yang tiba di Malaysia semalam, dirahsiakan bagi memastikan keterjaminan keselamatannya dalam membantu siasatan berkait penyelewengan dana 1MDB.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Roger Ng telah dibawa balik dari Amerika Syarikat pada Ahad dan ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) keesokannya bagi siasatan lanjut serta pemulihan aset. – Kosmo!

Author

Pilihan Editor