“Janganlah anda fikir semua penyanyi dangdut itu sama”.
Itulah ungkapan penyanyi, Haiza Hanafi ketika ditanya berhubung imej dan aksi sebilangan penyanyi bergenre dangdut yang kini dilihat semakin ‘panas’.
Haiza atau Rohaizah Nordin turut menzahirkan kelegaannya kerana kerana sepanjang bergelar penyanyi dangdut dia tidak pernah terpalit dengan kontroversi panas atau imej seksi.
Katanya, dia mengekalkan imej bersih serta bebas kontroversi kerana mahu menjaga maruah dirinya serta keluarga.
“Semestinya saya selesa sebab menjaga perkara ini daripada mula bernyanyi sehingga sekarang, rasanya kadang-kadang berbaloi sebab untuk berada dalam industri dangdut ini untuk kekal bersih agak susah sebenarnya.
“Saya sebenarnya dibantu oleh orang sekeliling malah saya sering ingatkan diri untuk menjaga tingkah laku, mungkin peristiwa yang berlaku pada awal kemunculan dulu buatkan saya lebih berfikir untuk kesannya.
“… Mungkin penyanyi lain lebih selesa dengan imej sedemikian tapi bagi saya tidak kerana setiap orang mempunyai cara yang berbeza,” kata Haiza seperti dilapor mStar.