JURI tetap program Famili Duo musim tiga (FD3), Mas Idayu mengingatkan enam pasangan yang menyertai program pertandingan nyanyian itu kekal berjiwa kental.
Kata Mas Idayu atau Masidayu Mesnun, 51, setiap komen atau ulasan yang diberikannya selaku juri adalah bersandarkan pengalaman sekali gus usaha membantu peserta memperbaiki kelemahan.
“Jangan fikir sudah bagus, kalau bagus, tak perlu masuk pertandingan”.
“Kalau tidak boleh terima kritikan, baik duduk sahaja dan buat persembahan apabila ada orang panggil.
“Sepanjang 35 tahun saya sudah lalui macam-macam. Jadi, kalau kami beri komen, semuanya berdasarkan pengalaman.
“Tidak kiralah juri bagus atau tidak, peserta perlu dengar kerana markah di tangan juri,” katanya memetik Kosmo.
Dalam pada itu, penyanyi dangdut itu turut mengakui mahu mengubah karakter yang lebih lemah lembut ketika memberi ulasan persembahan bagi edisi FD3 kali ini.
Katanya, buat masa ini dia masih berusaha mengekalkan sikap bertenang dan berhemah dalam melontarkan komen biarpun berasa janggal tidak menjadi diri sendiri.
“Saya cuba sebenarnya, tapi macam tak jadi. Apabila saya mahu lemah lembut, saya nampak macam orang lain sikit.
“Di depan saya, semuanya adik-adik saya jadi saya cuba supaya tidak jadi seperti tahun lalu. Saya mahu tidak terlalu ketara (ketika memberi komen) sehingga ada yang menangis.
“Saya tahu bukan semua orang boleh terima kritikan pedas. Ada yang boleh dan ada yang tidak boleh,” ujarnya.
Selain Mas Idayu, FD3 yang menyaksikan persaingan enam pasangan membabitkan adik-beradik, suami isteri dan pertalian kekeluagaan tersebut turut menampilkan Ajai sebagai juri.
Enam pasangan yang menyertai FD3 itu terdiri daripada gabungan Shila Amzah dan Syahir Amzah, Adira Suhaimi bersama Emma Suhaimi, Syaiful dan Sharif Zero, serta pempengaruh media sosial, Ryan Bakery yang bergandingan dengan adiknya, Adam Bakery.
Duo lain yang turut bersaing merebut hadiah utama sebanyak RM100,000 adalah saudara sepupu, Haqiem Rusli dan Ariff Bahran serta pasangan suami isteri, Fuad Rahman dan Tom.