HomeBeritaViralSatu keluarga jalan kaki hantar anak masuk universiti

Satu keluarga jalan kaki hantar anak masuk universiti

SHAH ALAM: Tular satu video memaparkan sebuah keluarga berjalan kaki memasuki Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) ketika hari pendaftaran pada Sabtu.

Menerusi rakaman berdurasi satu minit dan 13 minit yang menyentuh hati itu, keluarga tersebut difahamkan datang dari Sarawak dan mengambil bas sebagai alternatif untuk ke Pahang.

“Dari jauh nampak satu keluarga jalan kaki tengah-tengah panas ingatkan kereta rosak. Sedihnya tengok, panas-panas jalan kaki di saat yang lain naik kereta.

“Bila ditanya, katanya mereka datang dari Sarawak naik bas nak hantar anak masuk UMPSA,” kata pemilik akaun institut itu.

Menerusi video itu, pihak universiti bergegas mendapatkan kenderaan untuk membantu keluarga berkenaan membawa bagasi masuk ke dalam kampus.

“Pihak UMPSA bergegas carikan kereta untuk mereka masuk ke dalam kampus.

“Hebatnya kasih ayah dan ibu, teman anak masuk universiti,” ujarnya.

Sementara itu, menerusi ruangan komen, rata-rata netizen tersentuh dengan tindakan keluarga itu kerana sanggup berpanas untuk menghantar anak ke universiti.

Pemilik akaun TikTok @mystarinethe.sky turut mendoakan keluarga tersebut dan berharap pelajar itu berjaya.

“Semoga dimurahkan rezeki seluas langit dan bumi buat ibu ayah dan anak ini, belajar rajin-rajin. Semoga berjaya nanti insya-ALLAH,” katanya. – Sinar Harian

Authors

Pilihan Editor