HomeBeritaSPRM tahan presiden persatuan penternakan disyaki beri rasuah RM17,000

SPRM tahan presiden persatuan penternakan disyaki beri rasuah RM17,000

 

PETALING JAYA: Seorang pengarah syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki memberi suapan kira-kira RM17,000 kepada pegawai di sebuah kementerian.

Pemberian suapan berkenaan bagi mempercepat bayaran tuntutan subsidi ayam dan telur berjumlah kira-kira RM600 juta sejak Mei lalu.

Turut ditahan bersama pengarah tersebut ialah pekerja lelakinya berusia lingkungan 30-an.

Menurut sumber, pengarah syarikat berusia lingkungan 40-an tersebut yang juga merupakan presiden persatuan berkaitan penternakan ditahan kira-kira pukul 6.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Kata sumber, bagi tempoh lima bulan sejak Mei lalu, bayaran subsidi yang telah dilunaskan berjumlah RM600 juta melibatkan lebih 300 syarikat penternakan ladang ayam pedaging dan ayam penelur seluruh negara.

“Suspek direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan setelah SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

“Bagaimanapun, seorang lagi suspek dilepaskan dengan jaminan SPRM,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim yang mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009. – Utusan

Author

Pilihan Editor