HomeBeritaPolitik'Tak munasabah calonkan Tun M di Kemaman'

‘Tak munasabah calonkan Tun M di Kemaman’

SHAH ALAM: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, adalah tidak munasabah untuk mencalonkan Tun Dr Mahathir Mohamad bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman.

Beliau berkata, jika pihak tertentu mahu menimbulkan sebarang cerita berhubung calon PRK Kemaman, ia perlu dilakukan berlandaskan cerita yang munasabah.

“Tidak… tidak munasabah hendak timbulkan (cerita) berhubung calon PRK Kemaman… biarlah munasabah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Muktamar PAS Ke-69 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai calon PAS untuk PRK Kemaman yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 2 Disember depan.

Sebelum ini sebuah portal media mendakwa PAS berkemungkinan meletakkan Dr Mahathir sebagai calon dalam PRK Kemaman.

Memetik sumber yang dikatakan rapat dengan Dr Mahathir, laporan itu mendakwa rundingan berhubung perkara itu dibuat supaya peranan semak dan imbang terhadap kerajaan dapat dilakukan lebih berkesan.

Penamaan calon PRK Kemaman ditetapkan pada 18 November, manakala hari pengundian awal pada 28 November, manakala tempoh berkempen dipersetujui selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding.

Pada 26 September lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias Hamid yang mewakili PAS selepas pihak pempetisyen iaitu Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pada 3 Oktober lalu, PAS memutuskan untuk tidak memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan petisyen Parlimen Kemaman yang membatalkan kemenangan parti itu.

Pada PRU15 , Parlimen Kemaman menyaksikan pertembungan empat penjuru yang mana Che Alias menang majoriti 27,179 undi dengan memperoleh keseluruhan 65,714 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said (BN) yang mendapat 38,535 undi.

Dua calon lain iaitu daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Rosli Ab Ghani mendapat 506 undi dan calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin (8,340 undi).

Pejuang dilaporkan tidak akan meletakkan calon pada PRK Kemaman kali ini. – Berita Harian

Author

Pilihan Editor