CYBERJAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengumumkan tidak akan bertanding mempertahankan jawatan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sebagai ‘test the water‘ atau percubaan melihat reaksi orang ramai.
Mohd Puad berkata, Ahli Parlimen Pagoh itu memiliki persamaan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang pernah mengumumkan pendirian tidak akan bertanding tetapi bertindak menarik semula keputusan tersebut.
“Muhyiddin ada DNA Tun M. Macam gah umum tidak akan bertanding lagi. Tetapi selepas satu hari umum batal atas nasihat isteri.
“Rupanya untuk ‘test the water‘. Muhyiddin hanya berlakon. Para perwakilan yang terjerit-jerit minta Muhyiddin batalkan niat juga berlakon,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Ahad.
Jumaat lalu, Muhyiddin mengumumkan beliau tidak akan mempertahankan jawatan Presiden Bersatu dalam pemilihan yang akan diadakan hujung tahun hadapan.
Sehari selepas itu, Muhyiddin membuat pusingan U, apabila memaklumkan beliau akan bertanding jawatan Presiden Bersatu pada pemilihan parti akan datang.
Jelas Muhyiddin, keputusan itu dibuat susulan permintaan isterinya supaya kekal menerajui parti untuk tempoh satu penggal lagi.
Mengulas lanjut, Mohd Puad mendakwa, tindakan tarik diri Muhyiddin akan menyebabkan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Hamzah Zainuddin dan pimpinan PAS kecewa berikutan hasrat memimpin Perikatan Nasional (PN) terlepas.
Namun, Mohd Puad menegaskan, drama politik tersebut tidak akan membantu Muhyiddin melonjak balik namanya.
“Kalau Hamzah teruskan niat lawan Muhyiddin tahun hadapan dia boleh menang.
“Dia strategis. Muhyiddin tidak ada ‘ummph’ terutama jika ada lagi MP (Ahli Parlimen) Bersatu isytihar sokong Anwar Ibrahim,” katanya.