CYBERJAYA: Pemuda yang mendakwa dirinya anak ‘Makcik Kemboja’ menegaskan bahawa, video kemarahannya yang mencabar orang ramai bersemuka di laman TikTok telah disunting.
Perkara itu didedahkan oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Ezuan di laman X pada Khamis.
Ezuan turut mendedahkan bahawa dia menerima banyak ugutan selepas video berkenaan tular pada Rabu.
Dakwanya, video kemarahannya itu bukan ditujukan kepada netizen mahupun masyarakat umum, sebaliknya kepada bekas pekerja syarikat ibunya.
Katanya, kandungan media yang dibuat sepanjang dua minit tujuh saat telah diubah menjadi 29 saat oleh individu tidak bertanggungjawab, sehingga menimbulkan provokasi terhadap masyarakat.
“Semalam (Rabu) sekitar jam 2.30 petang, saya telah mengesan satu konten yang dimuat naik oleh seorang individu, yang merupakan bekas pekerja di Mariyah Holdings.
“Beliau telah memuat naik sebuah konten yang berunsur ugutan terhadap saya, kerana individu tersebut berkata dia akan mendedahkan identiti saya sebagai pencipta konten untuk ibu saya, Madam Mariyah. Individu tersebut juga telah memaki hamun saya dan juga ibu saya dalam konten tersebut.
“Mana dan di mana, dalam video original yang dimuat naik oleh saya, saya ada sebut ‘cabar netizen/cabar korang semua’ atau mana-mana individu atau pihak? Sedangkan saya cabar dia secara spesifik, siap ada nama penuh dia sekali.
“Namun, individu tersebut telah mengubah konten tersebut, mengambil bahagian-bahagian tertentu sahaja di mana saya sebut saya cabar, menyalak macam anjing dan sebagainya, seolah-olah saya mencabar netizen,” tulisnya.
Jelas Ezuan, perkara tersebut telah mengancam keselamatannya, sehingga menerima terlalu banyak ugutan.
“Jadi di sini saya ingin menyatakan bahawa segala spekulasi terhadap saya adalah fitnah. Dengan nama Allah, saya tidak pernah terniat untuk mencabar netizen mahupun masyarakat untuk datang berjumpa saya.
“Saya cuma nak selesaikan secara profesional bersama dia (bekas pekerja ibu). Saya minta anda (netizen) menilai sendiri, dan saya minta jasa baik anda untuk viralkan video original saya, supaya orang tahu sisi cerita yang sebenar,” katanya.
assalamualaikum semua, saya Ezuan, anak makcik kemboja yang sedang viral sekarang. saya ingin menjelaskan tentang isu konten saya yang telah diubah, diedit oleh individu tersebut, sehingga menimbulkan PROVOKASI terhadap masyarakat. this is a thread:
— 🎠(@eznhafsham) November 22, 2023
Menurut Ezuan, akaun peribadi TikTok beliau juga telah disekat pagi Rabu dan berharap ada keadilan buatnya.
“Saya berani kerana benar, dan saya tak takut dengan individu tersebut. Allah Maha Berkuasa,” katanya yang turut memuat naik video original yang menyebut nama bekas pekerja ibunya.
Sebelum ini, satu klip video berdurasi 1 minit 7 saat tular di TikTok memaparkan seorang wanita melontarkan kata-kata ‘Melayu malas’ ketika mengadakan pentstriman langsung di sebuah gedung tekstil sehingga menerima kecaman ramai.
Susulan itu, wanita berkenaan tampil membuat permohonan maaf, dipercayai ditujukan kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Polis Melaka memaklumkan menerima 14 laporan polis terhadap wanita terbabit dan telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan sesuatu kaum.