HomeBeritaPolitikSelepas Gua Musang, giliran Jeli pula umum sokong Anwar

Selepas Gua Musang, giliran Jeli pula umum sokong Anwar

KOTA BHARU: Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik mengikut jejak langkah Ahli Parlimen Gua Musang apabila mengumumkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Menurutnya, keputusan itu dibuat tanpa paksaan, pengaruh dan tekanan dari mana-mana pihak dan sokongan itu berterusan sehingga Pilihan Raya Umum (PRU).

“Ianya dibuat atas kerelaan saya sendiri demi Rakyat dalam Parlimen Jeli.

“Pada masa sama, saya juga mengisytiharkan untuk menyokong sebarang dasar-dasar dan inisiatif yang kerajaan lakukan di dalam memulihkan ekonomi negara serta meletakkan kebajikan dan kepentingan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Meskipun memberi sokongan terhadap Anwar, Zahari memaklumkan beliau akan terus kekal taat setia sebagai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Katanya, beliau juga bersedia berdepan dan menerima risiko dari tindakan disiplin parti demi memastikan pengundi-pengundi dan rakyat dalam Parlimen Jeli tidak menjadi mangsa keadaan.

“Saya juga tidak mahu ketinggalan menerima semua bentuk pembangunan dan bantuan dari Kerajaan Pusat.

“Saya sedar rakyat mesti diutamakan dan pembangunan mesti diteruskan tanpa sebarang kompromi. Dalam alaf yang serba mencabar ini selaku Ahli Parlimen saya harus memberi khidmat yang terbaik buat rakyat,” katanya.

Oktober lalu, Ahli Parlimen Bersatu dari Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid menyatakan sokongan kepada Anwar setelah meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak.

Keputusan itu turut disusuli oleh Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman (Bersatu) yang menyatakan sokongan kepada Anwar dan Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Mohd. Noor pada 31 Oktober lalu.

Malah, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd. Aziz Abu Naim turut menyatakan sokongan secara rasmi kepada Anwar berkuat kuasa semalam.

Author

Pilihan Editor