HomeHiburanMat Sentol terima Anugerah Kehormat Permata Dunia

Mat Sentol terima Anugerah Kehormat Permata Dunia

CYBERJAYA: “Saya berbangga dengan anugerah diberikan kepada Mat Sentol kerana ia pengiktirafan sangat tinggi kepada datuk sepanjang terbabit dalam dunia seni,” kata Ain Akashah Rosarif.

Ain Akashah, 26, dari Kota Damansara adalah cucu kepada Abd Rasip Yahya, 90, atau lebih dikenali sebagai Mat Sentol.

Dia mewakili Mat Sentol untuk menerima Anugerah Kehormat Permata Dunia sempena Majlis Konvokesyen Universiti Multimedia (MMU) Ke-24, hari ini.

Menurut Ain Akashah, pada Selasa lalu, dia dihubungi bapa saudaranya, Roslee Rashid, 61, dari Johor untuk menjadi wakil bagi menerima anugerah itu.

Katanya, dia terharu kerana walaupun datuknya sudah tidak aktif dalam bidang seni disebabkan faktor usia selain uzur, masih ada pihak yang mengingatinya.

“Saya berterima kasih kepada MMU atas penganugerahan ini dan ia tanda pengiktirafan terhadap usaha datuk saya sepanjang terbabit dalam bidang seni,” katanya ditemui selepas menerima anugerah berkenaan.

Anugerah disampaikan Canselor MMU Tun Zaki Tun Azmi.

Seramai 3,477 graduan membabitkan 951 penerima diploma, ijazah sarjana muda (2,297), ijazah kehormat (198) dan 31 doktor falsafah (PhD) menerima skrol masing-masing pada konvokesyen bermula Sabtu lalu sehingga esok.

Ain Akashah berkata, dia sangat rapat dengan datuknya malah pernah berlakon beberapa watak dalam iklan seperti ‘Tora’ dan ‘Ding Dang’.

“Saya juga teruja dengan kreativiti datuk dalam menghasilkan filem seperti ‘Mat Bond’ dan ‘Mat Magic’ kerana ketika itu tiada teknologi kecerdasan buatan (AI) seperti hari ini,” katanya. – Harian Metro

Author

Pilihan Editor