HomeHiburanFahmi atur pertemuan dengan Tyzo bincang soal kerjaya

Fahmi atur pertemuan dengan Tyzo bincang soal kerjaya

KUALA LUMPUR: Tidak hanya dapat simpati peminat, penamatan kontrak penyampai radio Suria FM, Tyzo Xander turut mendapat perhatian Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Pada pertemuan secara tidak sengaja petang semalam, Fahmi mahu mengaturkan pertemuan bersama penyampai radio berusia 47 tahun itu bagi membincangkan soal kerjanya.

“Kami bertemu secara tak sengaja. Secara kebetulan, saya bersama kakak dan adik ke pusat membeli-belah dan terserempak dengan Fahmi.

“Jadi, saya ambil peluang menyapa beliau. Tak sangka, Fahmi maklumkan ada sebut nama saya.

“Fahmi tahu kisah yang berlaku kepada saya kerana ada terbaca mengenai isu penamatan kontrak ini.

“Pada pertemuan itu, Fahmi minta pegawainya aturkan satu pertemuan dengan saya.

“Saya berharap semoga ada jalan terbaik pada pertemuan nanti. Beliau cakap rezeki tak salah alamat. Saya rasa terharu dengan keprihatinan beliau terhadap penggiat industri,” katanya kepada BH Online.

Fahmi menerusi hantaran dalam media sosialnya berkongsi gambar bersama Tyzo ketika terserempak di pusat membeli-belah di Petaling Jaya, petang semalam.

Terdahulu, pengumuman penamatan kontrak pemenang trofi Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 pada Jumaat lalu menjadi kecoh apabila ramai tidak berpuas hati dengan pemberhentian Tyzo atau nama sebenarnya, Tuah Zolqarnain Idris itu.

Tindakan dilakukan pihak pengurusan Suria FM disifatkan sebagai tidak wajar sedangkan segmen Suria Petang dikendalikan Tyzo bersama Sharifah Shahirah atau Shiera adalah slot paling popular pada waktu petang.

Tidak berpuas hati dengan tindakan stesen radio itu, ramai mengugut mahu memboikot Suria FM. Bagaimanapun, pihak pengurusan Suria FM memberi alasan mempunyai perancangan lain untuk stesen radio berkenaan.

Isu berkenaan akan dijawab pada sidang media dijangka pada Jumaat depan.

Tyzo dalam kenyataannya mendakwa tidak reda dengan perbuatan majikannya, selain turut menyatakan dirinya dianiaya apabila diarahkan berehat lebih awal sedangkan kontraknya tamat pada Mac depan.

Sementara itu, Tyzo turut menepis dakwaan mendapat tawaran stesen lain, sedangkan tidak pernah mencuba nasib mana-mana stesen radio kerana sayangkan Suria FM.

Bagaimanapun, sejak isu pemberhentian menjadi kecoh, banyak pihak dilihat mula mengintai Tyzo termasuk stesen radio Hot FM yang meminta pendapat pendengar dalam media sosial apakah perlu melamar Tyzo untuk menyertai mereka. – Berita Harian

Authors

Pilihan Editor