CYBERJAYA: Kerajaan disaran untuk memansuhkan pencen wakil rakyat terlebih dahulu, sebelum melaksanakan pemansuhan pencen penjawat awam.
Ketua Pergerakan UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan, wakil rakyat tidak sepatutnya memiliki keistimewaan dan dibezakan dengan rakyat.
Jelasnya, pemansuhan pencen wakil rakyat akan membuktikan bahawa kerajaan ketika ini menunjukkan kepimpinan melalui tauladan.
“Kita memahami tekanan kewangan yang sedang ditanggung oleh kerajaan ketika ini. Biarlah pemansuhan skim pencen ini dimulakan oleh wakil-wakil rakyat terlebih dahulu.
“Tidak adil jika kita mansuhkan pencen mereka (penjawat awam), tetapi kita (wakil rakyat) pula menikmati pencen sehingga mati.
“Tiada dua darjat antara wakil rakyat dan rakyat. Mohon cadagan ini diambil kira dan dipersetujui oleh semua wakil rakyat sama ada dari kerajaan mahupun pembangkang,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Khamis.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan rancangan skim tidak berpencen kepada penjawat awam baharu.
Jelas Ahmad Zahid, status pencen bagi penjawat awam sedia ada tidak terjejas, sementara penjawat awam baharu itu kelak akan membuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).