HomeBeritaMahkamah & JenayahPenagih dadah ditahan, lempar helaian, cebisan al-Quran

Penagih dadah ditahan, lempar helaian, cebisan al-Quran

JEMPOL: Polis menahan deorang penagih dadah selepas dipercayai melemparkan helaian dan cebisan al-Quran yang telah dikoyakan di tepi Jalan Besar Palong, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian dari seorang wanita pada pukul 8.30 malam.

Menurutnya, wanita berkenaan ternampak perbuatan itu dilakukan oleh seorang suspek lelaki berusia 37 tahun menaiki motosikal.

Tambah beliau, pihak polis turut menerima dua lagi laporan polis berkaitan penemuan helaian al-Quran dan senaskhah al-Quran di atas Jalan Besar Palong.

“Bertindak atas maklumat dan laporan dari pengadu, polis telah berjaya menangkap suspek dan merampas senaskhah al-Quran. Hasil siasatan awal, suspek mengaku terlibat dalam kejadian ini dan saringan air kencing suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine.

“Suspek juga mempunyai dua rekod jenayah di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) dan satu rekod di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat,” katanya memetik Utusan pada Ahad.

Jelas Chang Hook, suspek akan di bawa ke mahkamah hari ini untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 298 A Kanun Keseksaan/ 427 Kanun Keseksaan,” maklumnya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian terbabit.

Author

Pilihan Editor